Dominic melancarkan bilik gerakan PN bagi Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang hari ini.

BAYAN BARU – Parti Gerakan akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) di semua kerusi yang akan ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, tidak timbul pertikaian mengenai penggunaan logo Gerakan sendiri dalam gabungan PN susulan ia bukan isu baharu.

“Tiada masalah untuk kita guna logo PN bertanding pada PRU15.

“Dulu ketika kita berada dalam gabungan Barisan Nasional (BN) kita tak guna logo Gerakan jadi tak timbul isu kita nak guna logo sendiri selepas menyertai gabungan PN,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu beliau melancarkan bilik gerakan PN bagi Parlimen Bayan Baru di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong.

Pada sidang media itu, beliau mengumumkan satu keputusan muktamad telah dicapai berhubung penggunaan logo PN pada PRU15.

“Kita akan guna logo PN pada PRU15 ini dan keputusan muktamad itu dicapai menerusi satu mesyuarat bersama Pimpinan Tertinggi PN minggu lalu,” katanya.

Media pada 17 Oktober lalu melaporkan Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan penggunaan logo yang bakal digunakan calon gabungan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum proses penamaan calon berlangsung.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata satu mesyuarat di Majlis Pimpinan Tertinggi  PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan berhubung penggunaan logo termasuk perkara berbangkit lain. – MalaysiaGazette