Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbincang sesuatu bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani selepas membuat lawatan khas sempena PRU-15 dan monsun timur laut ketika di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menolak cadangan penganjuran debat melibatkan calon perdana menteri ketiga-tiga gabungan parti politik.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO itu menegaskan, ia bukanlah budaya di negara ini malah tidak pernah dipratikkan sebelum ini.

Katanya, langkah berdebat seumpama itu tidak mendatangkan apa-apa hasil dan hanya menjadi sekadar platform bagi pendebat untuk menaburkan janji-janji mereka.

“(Berdebat) bukan budaya kita, ia tidak mendatangkan apa-apa hasil.

“Kalau diberikan (peluang) berdebat, dia (pendebat) akan sebut janjinya, bulan bintang akan disebut, jadi tidak perlu (berdebat),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Khas Perdana Menteri Sempena PRU-15 dan Monsun Laut 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan tiga calon Perdana Menteri dari PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan debat secara terbuka sempena PRU-15.

Anwar berkata, perbahasan tersebut perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah, pembentukan kerajaan berdasarkan kepercayaan rakyat dan langkah berdebat adalah tidak perlu.

“Saya rasa tak perlu ada debat, kita sibuk di kawasan kita, kawasan masing-masing untuk kempen,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast