Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan tahniah kepada Rishi Sunak atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baharu.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap dapat bekerjasama rapat dengan rakan sejwatnya untuk meraih potensi hubungan Malaysia dan United Kingdom (UK).

”Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama untuk meraih potensi hubungan kedua-dua negara. Saya yakin, dengan dedikasi dan kepimpinan Tuan Yang Terutama, kerjasama sedia ada ini akan terus diperkukuh,” katanya dalam ucapan yang dikongsikan di hantaran Facebook.

Menurut beliau, Malaysia dan UK menjalinkan hubungan erat sejak  65 tahun yang lalu dan amat berbesar hati dengan pencapaian yang telah dikecapi setakat ini.
Jelasnya, kedua-dua negara telah menikmati hubungan yang mesra dan produktif, disokong oleh kerjasama dalam pelbagai aspek serta saling menguntungkan, terutamanya dalam sektor perdagangan dan pelaburan.
Tambahan pula, hubungan kedua-dua negara yang akrab, sejarah dan aspirasi bersama sememangnya telah membawa manfaat yang amat besar kepada rakyat kedua-dua negara.
“Saya juga mengambil kesempatan ini mendoakan Tuan Yang Terutama diberikan kesihatan dan kebahagiaan yang berterusan, dan buat rakyat United Kingdom, semoga akan terus menikmati keamanan, kestabilan dan kemakmuran,” ujar Ismail Sabri. – MalaysiaGazette