ISKANDAR PUTERI – “Melayu Bodoh”. Itu antara perkataan yang didakwa digunakan oleh pegawai penguatkuasa Singapura yang mencetuskan perang mulut di antara pasukan itu dan 10 nelayan tempatan, kelmarin.
Kumpulan nelayan terbabit sangat kesal dengan kata-kata kesat yang dilemparkan itu kerana perkataan itu tidak sepatutnya keluar.
Salah seorang nelayan, Syamsul Raihan Mohd Noor, 40, mengakui kata-kata ‘tidak cantik’ itu menyebabkan mereka yang keletihan, ditambah dengan cuaca panas naik berang.
Katanya, pertengkaran itu mungkin tidak akan berpanjangan sekiranya pegawai terbabit lebih profesional.
Menceritakan detik pertengkaran itu, Syamsul yang menjadi nelayan sejak 12 tahun lalu berkata, ia berpunca kerana isu jaring.
“Kita memang memasang jaring di perairan negara tetapi disebabkan arus, jaring tersebut tidak boleh berada 100 peratus di perairan kita, ia memang akan hanyut sedikit ke perairan Singapura,” katanya yang menegaskan kumpulan nelayan itu tidak pernah melanggar peraturan menceroboh sempadan Singapura.
Syamsul berkata, kedudukan boya atau penanda sempadan juga adakalanya boleh mengelirukan nelayan.
“Kedudukan boya jugak agak mengelirukan, kalau lihat pada GPS yang saya bawa ini, kedudukan yang kami (nelayan) pergi pada petang itu memang di dalam perairan Malaysia,” tambahnya.
Untuk itu, katanya, pihak berkuasa seharusnya melakukan semula pemetaan sempadan dengan arahan yang lebih jelas.
Dalam pada itu, nelayan Faizan Wahid, 41, individu utama yang dilihat bertengkar dengan penguatkuasa Singapura dalam video viral itu menegaskan dia dan rakan-rakannya bukan setahun jagung turun ke laut.
Jelasnya, nelayan Malaysia juga tidak pernah melanggar peraturan Kerajaan Singapura dengan memasuki sempadan negara itu.
“Punca sebenar kami bertengkar senang sahaja…disebabkan pegawai Singapura yang bertugas itu menunjukkan tingkah laku tidak berapa bagus dengan menggunakan bahasa tidak sepatutnya. Dia cakap perangai kami ini (nelayan) seperti “otak udang”
“Mana boleh begitu.Guna bahasa tidak elok walaupun kami ini hanyalah nelayan, kita mana ada masuk tempat (sempadan ) dia.
”Lepas itu cakap kami semua otak macam udang. Siapa yang tak marah. Kita ni nelayan sebagai punca rezeki. Kami sebagai nelayan turun ke laut, kalau tidak bagaimana kami mahu cari rezeki,” soalnya.
Sementara itu, belum reda dengan kemarahan insiden kelmarin seorang lagi nelayan Mohd Azman Mahanot, 37 pula mendakwa kehadiran bot rondaan tanpa pemandu dari republik berkenaan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan nelayan tempatan.
“Apa yang kita risau sekarang ada bot dari Singapura yang mula meronda di perairan Malaysia. Bot itu tiada pemandu. Perkara itu yang kita takut kerana ia (bot) boleh rempuh bot nelayan tempatan kita.
“Ya , sekarang dia (bot Singapura) pakai sistem seperti dron dan yang itu kita takut. Itu kita (nelayan) risau,”katanya.
Kelmarin tular sekumpulan 10 nelayan tempatan mendakwa dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang apabila mereka dihalau menggunakan pembesar suara dari bot pihak berkuasa Singapura walaupun masing-masing berada dalam perairan negara.- MalaysiaGazette
Ni polis Singapura ni perangai dia sebijik mcm DAP…lg mahu undi DAP kaa?