Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia menyaksikan aktiviti jualan sebanyak RM68.22 juta daripada pelabur asing bagi minggu ketujuh berturut-turut minggu lalu.

Bagaimanapun nilai tersebut paling rendah berbanding minggu-minggu sebelumnya.

MIDF Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih setiap hari pada minggu lalu kecuali hari Selasa dan Rabu dengan aliran paling ketara bagi pelabur asing adalah pada hari Khamis sebanyak RM83.4 juta.

Manakala aliran masuk terbanyak bagi pelabur asing pada hari Selasa sebanyak RM102.6 juta.

Hari Isnin menyaksikan kesinambungan jualan bersih pelabur asing pada RM53.5 juta.

Bagaimanapun, ia mengakhiri minggu dengan belian bersih oleh pelabur asing pada Jumaat dengan RM20.1 juta.

Firma penyelidikan itu berkata, tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk paling banyak oleh dana asing minggu lepas ialah perkhidmatan kewangan, tenaga dan telekomunikasi masing-masing pada RM81.1 juta, RM46.8 juta dan RM27.7 juta.

Sementara itu, aliran keluar bersih tertinggi ialah bagi saham penjagaan kesihatan sebanyak RM95.5 juta, produk dan perkhidmatan perindustrian RM81.0 juta dan pembinaan RM45.3 juta.

Sementara itu, pelabur institusi adalah pembeli bersih pada setiap hari dagangan minggu lepas, kecuali pada hari Selasa dengan aliran keluar bersih sebanyak RM105.7.

Aliran masuk bersih paling ketara bagi institusi tempatan adalah pada Khamis, direkodkan pada RM120.5 juta.

Secara kumulatif, institusi tempatan telah membeli bersih ekuiti bernilai RM147.5 juta minggu lepas.

MIDF Research berkata, pelabur runcit beralih kepada penjual bersih minggu lepas, dengan jumlah aliran keluar mingguan sebanyak RM79.2j.

Aliran keluar bersih terbesar untuk pelabur runcit tempatan pada hari Jumaat sebanyak RM48.8 juta manakala aliran masuk terbesar pada hari Isnin pada RM9.9 juta.

Sehingga kini, pelabur antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 24 daripada 42 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM5.7 bilion.

Pelabur institusi tempatan adalah penjual bersih selama 29 daripada 42 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM8 bilion.

Pelabur runcit pula menjadi pembeli bersih selama 27 daripada 42 minggu 2022 dengan belian RM2.2 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) bagi pelabur asing pada +17.8% dan pelabur runcit pada 5.2%.

Sebaliknya, pelabur institusi merosot sebanyak 2.5%. – MalaysiaGazette