Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi platform terbaik kepada rakyat Perak khususnya di Tambun untuk menamatkan riwayat politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, bukan Anwar sahaja malah riwayat politik Tun Dr Mahathir Mohamad juga perlu dinoktahkan.

“Bahkan ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar. Biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar hilang pengaruh di sini.

“Kita mesti jadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar dan Dr Mahathir kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya hari ini.

Shamsul Anuar berkata, usaha untuk menewaskan Anwar bukan bermakna BN mahu memberi kemenangan kepada Bersatu sebaliknya parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu juga perlu dikalahkan pada 19 November ini.

“Kita yakin pertandingan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul tidak menafikan kehadiran Anwar itu boleh meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat selepas ini.

“Saya harap kita sedar, pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali pilihan raya.

“Ini kerana semasa mereka menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya, mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Pilihan terbaik adalah BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast