Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkaitan menyiasat semua ladang ayam dalam negara bagi memastikan ia mematuhi peraturan keselamatan makanan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kaedah penternakan ayam perlu dilihat semula kerana ia dibimbangi boleh menyumbang kepada pencemaran bakteria Salmonella Enteritidis.

Kata beliau, ia susulan baru-baru ini terdapat laporan mengenai telur dari ladang Teo Seng Capital Berhad tidak diterima pihak berkuasa Singapura yang mana ia menunjukkan rakyat Malaysia dinilai sebagai pengguna kelas kedua daripada aspek keselamatan makanan.

Kata Mohideen, telur itu ditolak kerana didapati tercemar dengan bakteria Salmonella Enteritidis dan sekali lagi pihak berkuasa mengatakan bahawa telur tersebut tidak dijual di Malaysia serta hanya beberapa ladang sahaja yang terjejas.

“Memandangkan keadaan itu ramai pengguna Malaysia mungkin secara tidak sedar sudah mengambil telur yang tercemar dengan bakteria Salmonella Enteritidis hingga menyebabkan cirit-birit, sakit perut, demam, loya dan muntah.

“Ini bukan kali pertama produk Malaysia ditolak di negara luar malah, pada 2020 pihak berkuasa Singapura menarik balik jaluran tembikai musim sejuk dari Malaysia kerana didapati mengandungi sulfur dioksida melebihi had maksimum yang dinyatakan dalam Peraturan Makanan Singapura.

“Pada 2019 pula, air mineral botol ditarik balik oleh pihak berkuasa Singapura kerana didapati mengandungi Pseudomonas aeruginosa iaitu bakteria biasa yang terdapat dalam najis, tanah, air dan kumbahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, CAP menggesa supaya satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menyiasat kelemahan sistem pemantauan berkaitan keselamatan makanan di negara ini.

“Laporan berulang mengenai produk makanan Malaysia yang tidak selamat oleh pihak berkuasa luar negara jelas menunjukkan bahawa pemantauan keselamatan makanan di negara ini tidak mencukupi.

“Sementara itu pengguna dinasihati supaya  memasak telur mereka dengan teliti sebelum memakannya,” kata Mohideen. – MalaysiaGazette