Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail percaya pengundi kini bijak menilai kemampuan kerajaan untuk mentadbir berdasarkan rekod prestasi sebelum membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kemampuan kerajaan negeri Pahang yang ditadbir BN mempunyai rekod prestasi sangat baik, seperti kejayaan meningkatkan hasil, mengurangkan hutang negeri dan pemberian pelbagai bentuk bantuan terrmasuk Bantuan Prihatin Pahang.

“Jika kita hendak beri kenaikan pangkat (di tempat kerja) sekalipun, kita akan melihat kepada rekod prestasi cemerlang atau tidak. Jika rekodnya sering ponteng, bagaimana kita hendak beri kenaikan pangkat? Ini analogi yang mudah difahami.

“Begitu juga dengan kerajaan, kena tengok rekod prestasi dan itu harus jadi ukuran dan pertimbangan kepada pengundi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Jubli Emas Persatuan Pesara Kerajaan Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Pahang merekodkan peningkatan hasil negeri melebihi RM1 bilion buat kali pertama, berjaya memperoleh pelaburan berjumlah RM20.56 bilion setakat September lepas dan berjaya mengurangkan hutang daripada RM3.31 bilion kepada RM952 juta sejak Wan Rosdy menerajui pimpinan kerajaan negeri.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, BN menang 25 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) (sembilan) dan PAS (lapan).

Bagi kerusi Parlimen, BN menang sembilan manakala PH memperoleh lima, sebelum ‘hilang’ satu kerusi selepas Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengumumkan keluar PKR untuk menyertai Bersatu pada 2020. – BERNAMA