KUALA LUMPUR – Faktor Barisan Nasional (BN) mengemukakan tiga calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah bagi menggantikan empat menteri kanan dalam Kabinet sebelum ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan BN itu merupakan suatu pencetus perubahan kepada negara pasca Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak.
“Tidak pernah ada seorang pun TPM dari Sabah dan Sarawak sebelum ini. Peluang terbaik untuk mereka pada PRU15 ini. BN pencetus idea untuk manfaat rakyat membawa kestabilan dan kemakmuran,” ciapnya di Twitter hari ini.
Penyandang kerusi Parlimen Pontian itu berkata demikian merujuk kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang jaminan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung, mengisi jawatan TPM itu akan dimasukkan dalam manifesto BN sebelum PRU15 nanti.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.
Dalam pada itu, Ahmad berkata pelantikan tiga TPM adalah lebih baik berbanding membayar gaji dan elaun kepada empat menteri kanan yang dipraktikkan kerajaan campuran sebelum ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan keberadaan empat menteri kanan pada 27 Ogos tahun lalu.
Ia merujuk kepada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Untuk rekod, menteri kanan mula digunakan ketika pentadbiran Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – MalaysiaGazette