RIUH rendah sekali suasana politik dalam negara sejak Parlimen diisytihar dibubarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu.
Banyak bertaburan analisa daripada pelbagai pihak mengenai peluang kemenangan parti-parti yang bakal bertanding di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Walaupun pertandingan banyak penjuru akan berlaku di dalam PRU15 ini, tiga pesaing utama adalah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Hasil kajian dan pemerhatian saya dan rakan-rakan ahli akademik yang lain sudah ada petunjuk yang nyata bahawa BN akan menang selesa di dalam PRU15 ini.
Pertamanya, tahap kesiapsagaan BN jauh lebih terkehadapan berbanding PN dan PH.
Sejak memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor, memang BN sentiasa bersiapsiaga malah amat bersemangat sekali untuk menghadapi PRU15.
Berulang-ulang kali seruan supaya Parlimen dibubarkan dikumandangkan oleh para pemimpin BN khasnya UMNO supaya satu kerajaan lebih kuat dapat ditubuhkan.
Pada masa yang sama, para pemimpin PN dan PH pula menyediakan pelbagai alasan mereka yang tersendiri supaya Parlimen tidak dibubarkan sehingga ke hujung penggal.
Sebanyak 12 Menteri Kabinet dari PN malahan sampai ke peringkat mendahului Perdana Menteri dalam soal ini dengan mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Oktober.
Di dalam warkah ini mereka menyembah maklum bahawa mereka tidak bersetuju PRU15 dilangsungkan pada tahun ini atas alasan utamanya banjir yang dijangka berlaku.
Sebaliknya, mereka mahu supaya PRU15 dilangsungkan selepas musim Monsun Timur Laut yang bermula pada bulan November tahun ini sudah berakhir pada bulan Mac 2023.
Di pihak yang lain pula, PH, melalui Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago mengemukakan cabaran undang-undang di mahkamah memohon pembubaran Parlimen diisytiharkan tidak sah.
Selain daripada prosedur undang-undang secara teknikal yang dikatakan tidak bertepatan dengan kehendak perlembagaan persekutuan, hujah mengenai banjir juga turut digunakan.
Kesemua ini jelas memberikan gambaran kepada rakyat jelata bahawa BN sudah menang dari sudut moral berbanding kedua-dua PN dan PH yang tidak bersedia untuk menghadapi PRU15.
Lebih utama lagi adalah poster boy dan track-record BN adalah jauh lebih baik berbanding PN dan PH.
Berbanding PN dan PH, BN melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam mesyuaratnya pada 14 April lagi telah secara sebulat suara mencadangkan agar Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi pihak BN di dalam PRU15.
Pengumuman lebih awal calon Perdana Menteri ini, berdasarkan kepada keputusan PRN sebelumnya yang disertai pengumuman lebih awal calon ketua menteri atau menteri besar memberi kelebihan besar kepada parti politik yang berbuat demikian.
Menariknya, hampir tiada suara langsung dari dalam UMNO mahupun dari parti-parti komponen BN yang mempertikaikan keputusan MKT UMNO mencadangkan agar Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri bagi pihak BN untuk menghadapi PRU15 ini.
Ini tidak menghairankan kerana selaku Perdana Menteri, Ismail Sabri telah mencatatkan banyak kejayaan yang menjadikan beliau popular termasuklah mengemudi negara keluar dari pandemik Covid-19 selain merealisasikan beberapa inisiatif baru dan besar dalam pentadbiran.
Berbanding tempoh 22 bulan negara berada di bawah pentadbiran PH dan 17 bulan negara berada di bawah pentadbiran PN, tempoh 14 bulan negara berada di bawah pentadbiran BN dengan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah tempoh paling produktif negara.
Siapa sangka hanya dalam tempoh sesingkat itu Ismail Sabri berjaya melakukan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran yang sebelumnya telah cuba diusahakan oleh beberapa Perdana Menteri lain tetapi masing-masing menemui kegagalan.
Antaranya adalah sokongan sebulat suara yang diterima ke atas dua pindaan besar di dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan membabitkan larangan kepada Ahli Parlimen untuk bertukar parti.
Jika hanya dalam tempoh sesingkat itu sudah banyak pembaharuan dalam pentadbiran yang berjaya beliau laksanakan bayangkanlah apa lagi yang tidak mampu beliau lakukan jika beliau diberi ruang lebih panjang untuk menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.
Dari segi faktor peribadi pula, Ismail Sabri tidak pernah terlibat di dalam apa-apa perkara kontroversi baik dari sudut skandal moral ataupun apa-apa masalah integriti sekali gus ini membolehkan UMNO dan BN membawa agenda urus tadbir baik.
Sepanjang tempoh singkat pentadbirannya juga, Ismail Sabri mempamerkan wajah seorang pemimpin yang mengamalkan corak kepimpinan konsultatif yang akan mengakomodasi sedapat mungkin semua pandangan yang diberikan oleh kawan mahu pun oleh lawan.
Hubungan baik Ismail Sabri dengan semua pihak khususnya dengan aktor-aktor penting dalam pentadbiran negara yang antaranya merangkumi pihak istana dan para penjawat awam, malah dengan para pemimpin parti pembangkang juga adalah aset besar untuk UMNO dan BN.
Pendek kata, dengan Ismail Sabri sebagai poster-boy dan track-record beliau memimpin kerajaan selain track-record UMNO dan BN sendiri sebagai pembawa kestabilan dan kemakmuran kepada negara, UMNO dan BN dijangka menjadi pilihan utama pengundi.
Tidak dinafikan ada fitnah yang dibawa bagi menunjukkan bahawa Ismail Sabri hanya akan digunakan sebagai alat tetapi yang sebenarnya akan menjadi Perdana Menteri sama ada secara de jure atau de facto adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Walaupun begitu, fitnah ini jelas tidak ke mana kerana telah berkali-kali penegasan di sebaliknya dibuat malah Ismail Sabri dan Dr Ahmad Zahid telah bersama-sama menjelajah negara di atas platform Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran.
Bermula di Bagan Datuk, Perak pada 17 Oktober, jelajah yang meliputi lokasi-lokasi lain seperti di Kulim Bandar Bharu, Kedah, Hulu Terengganu, Terengganu, dan Kimanis, Sabah, ini juga akan berlangsung di Bera, Pahang, pada 27 Oktober.
Di setiap lokasi dipertegaskan berkali-kali mengenai kepentingan bersoladiriti di kalangan setiap ahli dan pemimpin UMNO dan BN demi menggapai kembali dominasi di dalam PRU15 dan mengenai ketiadaan masalah di antara pemimpin tertinggi UMNO dan BN.
Dan setakat ini model berkerajaan dalam mana Perdana Menteri bukan datang daripada pemimpin tertinggi parti ternyata membuahkan hasil yang bagus sekali membolehkan parti menguasai kerajaan dan menghasilkan lebih elemen ‘semak dan imbang’. – MalaysiaGazette
Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh adalah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette
Pembangkang Malaysia jer merepek…kat Indonesia misalnya Ketua Umum PDIP ialkah Megawati tapi presiden ialah Jokowi…di India, Pengerusi Parti Kongres ialah Sonia Ghandi tetapi sebelumnya ketika Kongres berkuasa PM ialah Mahmohan Singh….tak de isu pun