Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Aktiviti belian berterusan bagi saham-saham wajaran tinggi terutamanya sektor penjagaan kesihatan, perladangan dan telekomunikasi, berjaya memacu Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Rabu dalam zon positif selepas susut semalam.

Malah, seorang penganalisis menyifatkan peningkatan dagangan hari ini sebagai aliran menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.57 mata dan mencecah paras dagangan tertinggi pada 1,454.98 berbanding 1,444.41, semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka menokok 3.16 mata kepada 1,447.57.

Pasaran secara keseluruhannya juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 519 berbanding 354 manakala 376 kaunter lain tidak berubah, 1,115 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.61 bilion unit bernilai RM1.80 bilion berbanding 2.26 bilion unit bernilai RM1.76 bilion, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama, minat belian pada hari ini turut dipacu oleh prestasi semalaman Wall Street yang positif dan reaksi pelabur terhadap hasil Perbendaharaan negara itu yang susut berikutan pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan memperlahankan kenaikan ketara kadar faedahnya.

Berdasarkan sentimen semasa, beliau juga percaya FBM KLCI akan menyaksikan dagangan sehingga paras 1,470 bagi tempoh berbaki minggu ini.

Saham wajaran tinggi KLK melonjak 94 sen kepada RM22.42 manakala Digi dan IOI Corp masing-masing naik 13 sen kepada RM3.75 dan RM4.04.

Maxis dan Tenaga Nasional masing-masing menambah 12 sen kepada RM3.69 dan RM8.37 manakala Hartalega menokok 22 sen kepada RM2.07 dan Axiata meraih tujuh sen kepada RM2.81.

Selain itu, Betamek yang baru tersenarai, terbukti mendahului senarai kaunter paling aktif dengan meraih 21 sen untuk ditutup pada 71 sen, diikuti Serba Dinamik yang tidak berubah pada dua sen.

Top Glove pula menambah 4.0 sen kepada 75.5 sen, Sapura Energy susut setengah sen kepada 4.0 sen dan Careplus naik 5.0 sen kepada 44.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menokok 69.15 mata kepada 10,297.54, FBM 70 naik 68.91 mata kepada 12,176.30 dan Indeks FBMT 100 menambah 69.21 mata kepada 10,044.03.

Indeks FBM Emas Shariah naik 113.99 mata kepada 10,326.11 manakala FBM ACE menambah 38.44 mata kepada 4,869.04.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 12.39 mata kepada 16,492.78, Indeks Tenaga sebailknya naik 5.28 mata kepada 683.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.13 mata kepada 174.96 dan Indeks Perladangan melonjak 149.41 mata kepada 6,941.49.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meraih 1.50 bilion saham bernilai RM1.35 bilion daripada 1.25 bilion saham bernilai RM1.49 bilion, semalam.

Dagangan waran susut kepada 351.83 juta unit bernilai RM54.23 juta daripada 431.82 juta unit bernilai RM71.87 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 796.21 juta saham bernilai RM392.44 juta daripada 575.24 juta saham bernilai RM200.29 juta sebelum ini.

Dalam pada itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 197.28 juta saham didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (326.74 juta), pembinaan (36.35 juta), teknologi (154.52 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (52.82 juta), hartanah (107.77 juta), perladangan (30.27 juta), REIT (3.82 juta), dana tertutup (5,700), tenaga (211.85 juta), penjagaan kesihatan (274.26 juta), telekomunikasi dan media (27.54 juta),  pengangkutan dan logistik (23.69 juta) serta utiliti (12.76 juta).  – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast