Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad (tengah) bergambar bersama penerima Universiti Awan Iqra (TH) ketika Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.
BATU PAHAT – Lembaga Tabung Haji (TH) yang merupakan rakan strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyampaikan sumbangan dana zakat berjumlah RM12 juta kepada 20 Universiti Awam (UA).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sumbangan itu disalurkan menerusi program yang dinamakan Iqra’ TH.
Beliau berkata, setiap UA pula akan menerima sebanyak RM600,000 di mana program itu adalah sebahagian daripada Tanggung Sosial Korporat.
“LTH bertujuan untuk membantu para pelajar asnaf fakir dan miskin di universiti menampung kos pengajian mereka.
“Justeru, Iqra’ TH akan memanfaatkan seramai lebih 30,000 orang pelajar dan terima kasih banyak-banyak TH atas sumbangan yang diberikan. Tahun depan, bolehlah sumbangkan lebih,” katanya.

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berucap ketika Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa SULUNG Keluarga Malaysia (SULUNG) dan Penyampian Surat Tawaran Program Penajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor. Foto MUHD NA’IM, 26 OKTOBER 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) DanPenyampaian Surat Tawaran Program Penajaan KPT di Universiti Tun Hussein Onn di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman memuji penganjuran program Iqra’ TH itu yang dapat membantu pelajar-pelajar kategori asnaf di bawah keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti

Beliau berkata, pihak universiti akan memanfaatkan sumbangan itu untuk kebajikan pelajar dan berharap program tersebut berterusan pada masa akan datang.

Menurutnya, program itu sangat penting bukan sekadar nilainya sebaliknya dapat digandingkan dengan beberapa bantuan lain termasuk bantuan zakat universiti sedia ada untuk membantu ramai lagi pelajar yang layak untuk membebankan mereka. – MalaysiaGazette