Mohd Hairi Md Shah

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor akan menghubungi Wisma Putra dalam usaha membawa pulang penduduk negeri itu yang terkandas di mana-mana negara.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, kerajaan negeri mengambil maklum berhubung penularan video bertajuk “Rayuan Anak Johor untuk Diselamatkan” membabitkan tujuh individu yang mendakwa rakyat negeri itu yang ditipu sindiket pekerjaan di Kemboja.

“Meskipun urusan membawa pulang warganegara Malaysia adalah di bawah bidang kuasa Wisma Putra dan Kerajaan Negeri Johor tidak mempunyai kuasa penuh dalam soal urusan membawa pulang warganegara Malaysia namun kerajaan negeri tetap peka dalam mendepani pelbagai isu semasa serta kebajikan khususnya buat Bangsa Johor.

“Kerajaan Johor yakin Kementerian Luar sentiasa komited dalam memastikan kebajikan warganegara Malaysia diberi keutamaan. Bagaimanapun, urusan untuk membawa mereka pulang masih tertakluk kepada peraturan negara terbabit.

“Selaku Exco, isu peluang pekerjaan terhadap anak muda sememangnya menjadi keutamaan apatah lagi dalam konteks isu membabitkan belia dan anak Johor yang ditipu sindiket pekerjaan luar.

“Jika merujuk perkara ini kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia berikutan membabitkan elemen jenayah penipuan sindiket pekerjaan terancang yang melibatkan warganegara Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam video berdurasi 58 saat itu juga, individu yang mewakili kumpulan berkenaan turut mendakwa mereka terkandas dan dipaksa  bekerja oleh sindiket berkenaan selain merayu kepada kerajaan Johor untuk membantu mereka pulang ke tanah air.

Dalam pada itu, Mohd Hairi berharap semua tujuh individu yang mendakwa sedang terkandas dapat bertahan sehingga semua urusan membawa pulang mereka pulang dapat diselesaikan.

“Buat semua Bangsa Johor, marilah kita sama-sama doakan supaya urusan membantu kumpulan individu terkandas ini dipermudahkan dan mereka dapat pulang ke tanah air dalam keadaan selamat serta dapat bertemu dengan keluarga tercinta,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat yang dihubungi mengesahkan kejadian itu mengulas, ketujuh-tujuh individu itu kini berada di dalam keadaan selamat.

“Ya, saya sahkan mereka memang orang Johor dan kini apa yang boleh saya katakan semua mangsa ditempatkan di kawasan atau di lokasi yang selamat.

“Saya telah pun berhubung dengan pihak sana (Kemboja). Saya tidak boleh ulas berlebihan kerana boleh bahayakan mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

Mangsa sindiket terkandas di Kemboja rayu bantuan MB Johor