Adly Zahari

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka turut mempertimbangkan calon dari luar untuk bertanding di enam kerusi Parlimen di negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Pengerusinya, Adly Zahari berkata, parti itu membuat penilaian daripada pelbagai sudut termasuk menonjolkan muka baharu.

“Mungkin kita akan tengok (calon luar) sebab semua pertimbangan bagi kita adalah untuk memberi yang terbaik kepada rakyat, yang boleh memberikan perkhidmatan.

“Kita pun ada strategi juga dalam PH untuk menonjolkan muka-muka baharu dan kita yakin ada gabungan yang lama dan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Jelajah Mega Harapan Negeri Melaka dan Pelancaran Jentera PRU-15 yang disempurnakan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim di Taman Sungai Petai Permai di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, PH adalah parti yang bersifat nasional.

“Kita tidak ada garis, kawasan negeri yang menghalang kita dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“(Calon lama pun) semua kita buat pertimbangan kerana isu paling penting adalah hubungan baik dengan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette