Laluan sempit dan gelap dalam kapal pasir dilalui oleh pihak bomba dan penyelamat untuk mengeluarkan tiga mangsa warga Vietnam yang maut akibat renjatan elektrik dalam kejadian di Rompin awal pagi ini.

KUANTAN – Identiti tiga mayat disyaki warga Vietnam yang maut akibat terkena renjatan elektrik dalam Kapal Pasir Dai Cat 02, Tanjung Seratus di Rompin hari ini masih dalam siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, kes berhubung kejadian mati mengejut telah dibuka namun identiti mangsa masih belum dapat dipastikan.

DSP Mohd Azahari Mukhtar

“Polis menerima aduan dari orang awam menyatakan terdapat tiga lelaki telah terkena renjatan elektrik serta tidak sedarkan diri di dalam kapal pasir dalam kejadian pukul 1.52 pagi hari ini.

“Setibanya polis di lokasi kejadian mendapati kesemua mangsa berada di dalam perut kapal di mana keadaan ruangan yang sempit menyukarkan urusan mengeluarkan mangsa.

Menurut Mohd Azahari, pihak bomba berusaha untuk mengeluarkan mangsa pada waktu siang memandangkan keadaan yang sukar ketika melakukan kerja mengeluarkan mangsa pada waktu malam yang gelap.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut di mana proses dokumentasi dan pengecaman mangsa masih dilakukan bagi memudahkan pengurusan mayat.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria ketika dihubungi memaklumkan komander operasi telah berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dengan menggunakan tali dalam operasi menyelamat.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Mangsa dibawa ke Hospital Rompin akan menjalani proses bedah siasat di unit forensik selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperolehi. – MalaysiaGazette