Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di daerah Kubang Pasu, Kedah.

ALOR SETAR – Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah negeri ini  bagi menempatkan 164 mangsa yang terjejas akibat banjir.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata,  kesemua mangsa yang terlibat terdiri daripada 50 keluarga dari daerah Padang Terap dan Kubang Pasu.

“Dua PPS telah dibuka di daerah Padang Terap bermula  jam 11.46 malam iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tualak yang menempatkan 43 orang daripada 15 keluarga manakala di SK Perik pula 33 orang daripada lapan keluarga di situ.

Seramai 164 mangsa dilaporkan berada di PPS setakat ini.

“Hujan berterusan sejak 5 petang semalam telah menyebabkan paras air Sungai Janing meningkat dan menyebabkan tiga kampung terjejas iaitu Kampung Perik, Kampung Labi dan Kampung Bendang Raja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata di daerah Kubang Pasu, satu PPS iaitu SK Binjai dibuka bermula jam 10.30 malam bagi menempatkan 88 mangsa daripada 27 keluarga dari Kampung Telok, Kampung Bendang Dalam serta Kampung Tanjung. – MalaysiaGazette