15 PATI Myanmar yang berjaya ditahan dalam belukar kebun getah di Bukit Kayu Hitam menerusi Op Benteng semalam. Foto Ihsan Divisyen Kedua Infantri ATM

KUALA LUMPUR – Seramai 18 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyeludup masuk melalui sempadan Malaysia-Thailand semalam berjaya dicekup.

Kesemua PATI itu telah ditahan dalam Operasi Benteng yang dijalankan oleh Briged Keenam dan Kelapan Infantri Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Tanah Merah Kelantan.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, sekumpulan individu ditahan di kawasan belukar kebun getah sekitar Kemajuan Tanah Bukit Tangga semasa pasukan keselamatan melakukan rondaan.

“Pemeriksaan mendapati kesemuanya seramai 15 orang adalah PATI warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemuanya berumur antara 20 hingga 42 tahun terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita,” kata markas tersebut.

Tiga PATI warga India termasuk seorang wnita yang ditangkap dalam sebuah kereta di sempadan negara di Tanah Merah Kelantan dalam Op Benteng semalam. Ihsan Infantri Divisyen 2 ATM

Dalam kejadian kedua, kira-kira jam 7.50 pagi, tiga orang dalam sebuah kenderaan jenis Produa Kembara di sempadan negara di Tanah Merah juga ditahan.

Menurut Divisyen kedua itu, ketiga-tiga individu itu adalah warga India yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Ketiga-tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan antara 30 hingga 33 tahun.

Dalam kedua-dua tangkapan itu, pasukan turut merampas sebuah kenderaan jenis Produa Kembara, enam unit telefon bimbit, 10 kad pengenalan diri warganegara Myanmar, empat passport warganegara Myanmar dan Thailand, 11 buah telefon bimbit, 17 beg pakaian dan wang tunai dalam matawang Rupees India, Malaysia, Myanmar dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM15,584.67.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Bukit Bunga untuk tindakan lanjut termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan khusunya kemasukan PATI,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast