Lim Kit Siang.-Foto SYAFIQ AMBAK, 07 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang perlu menjelaskan bila DAP pernah menjadi parti komunis atau menyokong perjuangan komunis.

Vateran DAP Lim Kit Siang berkata, Pas pernah pernah menjadi rakan kerjasama DAP ketika dalam Pakatan Rakyat bersama-sama PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hadi, Anwar, dan saya telah menandatangani persefahaman pembentukan Pakatan Rakyat, yang merupakan gabungan Pas, PKR, dan DAP pada tahun 2008.

“Namun Pakatan Rakyat berakhir selepas Muktamar Pas pada bulan Jun 2015, apabila para pemimpin Pas di bawah Hadi memilih untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

“Bilakah DAP menjadi komunis atau pro-komunis? Adakah sebelum 2008 dan selepas 2015, atau adakah DAP ini komunis atau pro-komunis sepanjang bersama Pakatan Rakyat dari tahun 2008 hingga 2015?” soal Kit Siang.

Kit Siang yang telah bersara politik dan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mendakwa, Abdul Hadi telah mencemarkan nama Islam dengan menyebarkan penipuan dan fitnah.

Katanya, Abdul Hadi telah bertindak seakan-akan  sumpah-sumpah dan bertentangan dengan perkembangan arus perdana Islam.

“Seperti yang dikatakan pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, semalam, Hadi sedar yang DAP bukanlah komunis atau pro-komunis.

“Bilakah Hadi mendapati yang DAP ini komunis atau pro-komunis?” katanya.

Kit Siang berkata, setakat ini tidak ada pemimpin DAP yang ditahan kerana dikaitkan dengan komunis.

Ini termasuk dirinya yang pernah ditahan dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi tidak didakwa sebagai komunis atau pro-komunis.

“Adakah Hadi mempunyai maklumat yang tidak dimiliki oleh Cawangan Khas yang mengatakan DAP ini “komunis” atau “pro-komunis”?

“Hadi mencemarkan nama Islam apabila dia mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal seperti: “Kita (PAS) tidak suka DAP kerana mereka komunis. Tetapi semasa kita bekerjasama dengan DAP, tidak mengapa. Apabila kita bekerjasama dengan Bersatu dan UMNO, DAP menjadi komunis semula,”

“Semasa DAP bekerjasama dengan Nik Aziz dan Fadzil Noor, adakah DAP komunis atau pro-komunis?” soal beliau.

Kit Siang berkata, rakyat tidak boleh membiarkan pelampau politik penipuan, kebencian, perkauman dan keagamaan untuk berjaya.–MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast