Guan Eng (depan) bersama pimpinan DAP Pulau Pinang pada sidang media di Wisma DAP negeri hari ini.

GEORGE TOWN – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan memfailkan saman terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendakwa Kementerian Kewangan ibarat tokong Cina ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Pengerusi DAP itu tidak mendedahkan bila tuntutan tersebut akan dihantar kepada Tajuddin.

Jelas beliau, tindakannya memfailkan tuntutan itu bukan untuk membela diri sendiri namun untuk memastikan isu perkauman tidak dibawa dalam pentas Pilihan Raya Umum Ke-15.

Guan Eng.

“Tuduhan jahat sebegini amat bahaya pada pentas nasional. Saya telah mengarahkan peguam saya menghantar surat tuntutan guaman di pejabatnya (Tajuddin) di Kuala Lumpur.

“Bila saya akan hantar saya akan umumkan tapi ini terpulang kepada peguam saya kerana sekarang ini kita sibuk.

“PRU15 ini untuk rakyat tentukan masa depan macam mana mereka hidup lebih baik pada masa depan berbanding sekarang. Jangan dialihkan perhatian oleh kumpulan rasis dan ekstremis, jangan,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Mengulas mengenai jenis tuntutan, Guan Eng berkata, terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya.

“Kalau boleh dapat pampasan dan bukan sahaja permohonan maaf.

“Saya juga akan pertimbangkan saman malu. Situasi ini berbeza dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa rasuah disebabkan orang bukan Islam. Hadi cakap secara menyeluruh tanpa merujuk individu sebab itu kita buat laporan polis.

“Namun sehingga kini belum ada hasil siasatan daripada pihak polis berhubung siasatan terhadap Hadi,” ujar beliau.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Tajuddin menjadi ahli panelis program Wacana Sinar mendakwa Guan Eng menjadikan Kementerian Kewangan sebagai tokong Cina selain meminggirkan pegawai Melayu dan membawa pasukannya sendiri ke dalam kementerian itu. – MalaysiaGazette