Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tengah) bergambar bersama Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar (tiga kiri), Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman (kiri) dan Pengarah Urusan HP Malaysia, Alex Tan (tiga kanan) serta Skuad eRimau selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman kerjasama antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan HP Malaysia ketika di Wisma FAM, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2022.]

PETALING JAYA – Syarikat teknologi maklumat, Hewlett-Packard (HP) Inc. menjalinkan kerjasama strategik dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memastikan arena e-sukan bola sepak dan ekosistemnya ditingkatkan menerusi penggunaan barangan elektronik berkualiti tinggi.

HP Malaysia juga komited menjadi rakan penaja Peralatan Teknologi Maklumat dan e-Stor rasmi skuad eRimau bawah kendalian FAM bagi kempen siri FIFA eNations 2023 yang dijadualkan bermula Disember depan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kolaborasi bersama syarikat teknologi terkemuka itu sebagai permulaan yang baik untuk masa depan e-sukan bola sepak negara.

“Sokongan yang telah dizahirkan oleh barisan penaja telah banyak membantu kami di FAM untuk terus membangunkan serta menambah baik ekosistem bola sepak di Malaysia”

“Menerusi kolaborasi terbaharu FAM bersama HP Malaysia, kami berpeluang untuk memperluaskan serta menambah baik ekosistem bola sepak negara dengan memasukkan e-sukan bola sepak ke dalam program pembangunan negara,” katanya.

Pada majlis pemeteraian kerjasama itu, FAM diwakili Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman manakala HP diwakili Pengarah Urusan, Alex Tan.

Hadir pada majlis, empat pemain skuad eRimau iaitu Ahmad Akmal Abdul Rafil, Faiq Iskandar Saiful Bahri, Muhammad Imran Burhanudeen dan Muhammad Muzzafar Zuhair Mustafa.

Sementara itu, Alex berkata, melalui kolaborasi itu, HP akan menyokong eRimau daripada segi teknologi digital terbaik untuk memastikan pasukan tersebut mempunyai bahagian perisian terbaik.

“Bagi kami (HP), sudah pasti kami mahu melihat kejayaan pasukan eRimau, kami mahu mereka memperoleh keputusan yang baik di peringkat antarabangsa dan juga untuk menggalakkan lebih banyak pasukan tempatan seperti ini berlaku”

“Salah satu objektif HP daripada kerjasama strategik ini adalah untuk memberikan pasukan e-sukan Malaysia pengiktirafan di peringkat dunia” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

HP yang tidak asing dalam arena permainan digital, akan memberikan perkakasan komputer kepada atlet e-sukan negara yang beberapa kali mengharumkan nama negara di pentas Asia Tenggara sebelum ini.

Untuk rekod, HP pernah muncul sebagai penaja untuk salah sebuah pasukan bolasepak Liga Perdana Inggeris dan Formula One.  -MalaysiaGazette