Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan tertinggi kepimpinan BN yang lain pada Majlis Soladariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Pahang di Laman Kerayong, Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2022.

BERA – Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terdiri daripada 10 teras dengan lebih 90 tawaran.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, manifesto berkenaan akan mencakupi kepentingan kesemua lapisan masyarakat.

Menurut beliau, rakyat ketika ini amat merindukan Kerajaan BN yang dominan berikutan kesengsaraan yang dialami di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru kerinduan rakyat terhadap pentadbiran BN perlu dijawab dengan penuh bijaksana oleh jentera parti.

“Apabila rakyat sekali lagi memberikan dukungan secara dominan kepada calon BN dan kita akan menghidangkan banyak tawaran dalam manifesto yang akan dibentangkan.

“Insya-Allah kita akan lihat bila manifesto ini dihidangkan ia akan ada lebih 10 teras dan akujanji untuk pengundi.

“Malah kita akan tawarkan lebih 90 perkara untuk rakyat pelbagai pelbagai golongan daripada kumpulan minoriti hingga kumpulan majoriti. Insya-Allah kerajaan Barisan Nasional akan memberikan keprihatinan kepada rakyat semua pihak,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran (SKK) dan pelancaran Jentera Barisan Nasional Pahang, di sini, hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan yang lain.

Ahmad Zahid sementara itu menegaskan, BN perlu menjadi dominan dan kuat di dalam Dewan Rakyat dengan majoriti yang besar.

BN perlu mengikut jejak kejayaan yang dikecapi oleh parti itu pada PRU11 yang memperlihatkan BN mendapat kemenangan mutlak dengan majoriti lebih dua pertiga sehingga menjadikan suara pembangkang ‘kerdil’.

Menurut beliau, jumlah ahli pembangkang yang ramai bukan hanya menggugat kestabilan tetapi turut mengganggu pembangunan negara.

“Kita mahu mewujudkan sebuah negara Malaysia yang demokratik namun suara pembangkang yang terlalu kuat akan menggugat kestabilan politik di negara kita. Ini akan mengganggu kemakmuran yang dirancang oleh kerajaan,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette