Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa tingkap kenderaan kereta pemandu pada Operasi Bersepadu JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Merasakan diri kebal daripada tindakan pihak berkuasa, seorang lelaki cukup berani memandu kereta tanpa lesen sejak mula memandu sehingga hari ini.

Malah, kereta yang dipandunya juga tidak memiliki cukai jalan kenderaan sejak ia tamat tempoh pada tahun 2018.

Ketika ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi bersepadu Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 47 tahun itu memberi alasan jarang memandu menyebabkan dia tekad tidak mahu mendapatkan lesen sehingga kini.

Bagaimanapun, semakan yang dibuat mendapati lelaki berkenaan pernah beberapa kali disaman sejak tahun 2002 atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan cukai kenderaan tamat tempoh.

Bagi kesalahan itu, JPJ mengeluarkan dua notis saman terhadap lelaki atas kesalahan dilakukan.

Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa tingkap kenderaan kereta pemandu pada Operasi Bersepadu JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 OKTOBER 2022.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, seramai 98 anggota terdiri daripada JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Lebuhraya Utara -Selatan (PLUS) terlibat dalam operasi itu.

Dalam operasi itu, sebanyak 2,282 kenderaan pelbagai jenis termasuk bas, van, kereta dan motosikal diperiksa dengan 152 kenderaan diambil tindakan termasuk empat kenderaan disita

Daripada jumlah itu, sebanyak 297 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh yang merekodkan antara kesalahan tertinggi, selain kesalahan tiada lesen memandu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Datuk Razali Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Aedy Fadly Ramli.

Zailani mengakui, tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh antara kesalahan lazim yang dilakukan pengguna jalan raya bagi semua jenis kenderaan.

“Dalam kebanyakan kes yang kami terima, kebanyakan pemandu memberi alasan sama iaitu tidak sedar, atau tidak sempat untuk memperbaharui cukai jalan tamat tempoh.

“Malah, banyak kes kami dapati pemandu bukan sahaja memandu kereta tanpa cukai jalan tetapi tidak mempunyai insurans kenderaan.

“Sikap pemandu begini sebenarnya akan menyusahkan ramai pihak sekiranya berlaku kemalangan, justeru kita perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast