Ahmad Maslan

PONTIAN – Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, dakwaan namanya tiada dalam senarai calon Barisan Nasional ( BN) Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tular sejak malam tadi adalah palsu.

Sebaliknya, Setiausaha Agung UMNO itu menegaskan, senarai calon-calon yang bakal bertanding sudah diketahuinya.

Namun, senarai nama itu tidak boleh dikongsi.

“Dulu (senarai) palsu, ini pun palsu. Senarai nama saya sudah tahu tetapi tak boleh diumum,” jawab beliau menerusi Whatsapp ketika ditanya mengenai senarai yang tular itu.

Ahmad yang juga penyandang Parlimen Pontian berkata, sama ada namanya akan digugurkan atau tidak, hanya akan terjawab pada hari pengumuman calon BN Johor yang dijangka akan diadakan sebelum hari penamaan calon pada 5 November ini.

Semalam tular senarai calon PRU15 bagi 26 kerusi Parlimen di Johor.

Antara nama yang tertera dalam senarai itu adalah Pengerusi BN dan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad yang dikatakan akan diletakkan di Parlimen Simpang Renggam dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian merupakan calon di Parlimen Pontian.

Parlimen Pontian yang terdiri daripada dua DUN iaitu Benut dan Pulai sebelum ini menjadi bualan hangat apabila Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian mengumumkan akan bertanding pada PRU15.

Ahmad merupakan penyandang di kawasan itu selama tiga penggal tetapi menang majoriti tipis iaitu 833 undi dalam pertembungan tiga penjuru pada PRU14.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.