Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK-Bertulis) yang dijadual pada 14 hingga 17 November ini dipinda kepada tarikh baharu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, bagi UPKK Bertulis Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) yang sepatutnya berlangsung pada 14 November dipinda pada 28 November 2022.

Manakala ujian Sirah Jawi dan Khat yang sepatutnya diadakan pada 15 November ini dipinda kepada 29 November 2022.

“Bagi tarikh ujian Adab yang asalnya ditetapkan pada 16 November telah diubah kepada 30 November 2022, manakala Lughah al-Quran pada 17 November 2022 ditukar kepada 1 Disember 2022.

“Pindaan ini dibuat bagi memberi ruang persediaan dan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung pada 19 November ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Jakim prihatin dan mengambil berat dengan keputusan yang telah ditetapkan serta amat menghargai komitmen semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan UPKK Bertulis kali ini. – MalaysiaGazette