KUALA LUMPUR — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti politik yang mengubah suai kenderaan bagi tujuan berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, individu yang melakukan ubah suai hingga menjadi kenderaan komersial hingga tidak menepati spesifikasi seperti ditetapkan Agensi Perkhidmatan Awam Darat (APAD) boleh dikenakan tindakan.
“Kita tidak akan berkompromi. Untuk urusan parti ke apa, asalkan dia mengubahsuai kenderaan, sama ada untuk PRU atau tidak, tetap salah. Dia tidak ada satu lesen besar untuk memodifikasi kenderaan untuk PRU”
“Jika kenderaan berkenaan tidak menepati spesifikasi dan permit asal yang dikeluarkan, tindakan boleh dikenakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) iaitu salah guna permit dan melakukan modifikasi kenderaan” katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi hala selatan, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pengangkutan, Datuk Razali Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Perancangan dan Operasi), Aedy Fadly Ramli.
Menyentuh mengenai musim pilihan raya, Zailani berkata, peningkatan aliran trafik di semua lebuh raya utama dijangka berlaku bermula pada hari penamaan calon 5 November depan sehingga hari mengundi pada 19 November nanti.
Untuk itu, beliau berkata, JPJ tidak mahu sebarang isu berbangkit yang mengganggu kelancaran lalu lintas sempena PRU nanti.
Mengulas lanjut katanya, JPJ akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh berkenaan.
Sementara itu, menurut Zailani, sebanyak 402,626 kemalangan jalan raya dengan 4,379 kematian direkodkan bagi tempoh Januari hingga bulan lepas, September lalu.
Jumlah itu meningkat sebanyak 147,094 kes berbanding 255,532 kemalangan jalan raya dengan 3,324 kematian direkodkan bagi tempoh sama pada tahun lalu.
Peningkatan itu berikutan pertambahan jumlah kenderaan di atas jalan raya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 ditarik balik. -MalaysiaGazette