Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Perasmian 'Commonwealth and 4th Global Wound Conference 2022' di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menambah perkhidmatan penjagaan luka melibatkan komuniti dan lawatan ke rumah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia bagi membolehkan pesakit yang terlantar di rumah untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan luka tanpa perlu pergi ke hospital dan klinik kesihatan.

“Kita akan tambah lagi perkhidmatan penjagaan luka di peringkat komuniti dan lawatan ke rumah.

“Sebab ramai pesakit khususnya yang terlantar dia tak boleh datang ke hospital atau pun klinik, jadi dia memerlukan perkhidmatan di rumah.

“Untuk lima tahun akan datang, lebih banyak tumpuan akan diberi kepada perkhidmatan kesihatan di peringkat komuniti dan juga rumah pesakit supaya mereka tak perlu datang ke hospital dan klinik,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Commonwealth & 4th Global Wound Conference 2022 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin menyifatkan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi persidangan dunia bagi penjagaan luka pada 2026 merupakan penghormatan dunia negara ini.

“Ini adalah satu penghormatan besar dan kita juga Prof Dr Hari Krishna juga telah dipilih presiden akan datang.

“Satu pengiktirafan besar kepada Malaysia terutamanya dalam pengurusan penjagaan luka di mana kita dilihat antara negara peneraju dalam bidang penjagaan luka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, KKM memperuntukkan sehingga RM5 juta setahun bagi membiayai kos penjagaan luka di seluruh negara.

“Sehingga kini, sebanyak 5,150 rawatan luka telah diberikan Persatuan Profesional Perubatan Luka Malaysia (MSWCP) di seluruh negara.

“Tahun lepas sahaja, seramai 1,800 pesakit menerima rawatan percuma, manakala tahun ini pula jumlah itu bertambah hampir sekali ganda kepada 3,350 kes,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast