Mohamad Farouk Eshak.

KUALA LUMPUR – Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.

Bidalan ini sesuai digunakan kepada seorang lelaki yang membuat kerja onar mencuri bateri kereta.

Lelaki tempatan berusia 45 tahun itu bagaimanapun ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kes mencuri bateri kereta di tepi Jalan Pandan Bistari 5, Cheras Baru pada 25 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan ke atas suspek dibuat pada 26 Oktober sekitar jam 8.30 malam di Taman Bukit Permai selepas laporan diterima daripada seorang pengadu berusia 72 tahun.

“Pada Jumaat lalu sekitar pukul 12 tengah malam, pengadu telah meletakkan keretanya jenis Perodua Kancil dalam keadaan berkunci baik di tepi Jalan Pandan Bistari 5, Cheras Baru.

“Kemudian keesokan harinya pukul 10 pagi, pengadu ingin keluar tetapi keretanya tidak boleh dihidupkan. Pengadu segera membuat pemeriksaan dan mendapati bateri keretanya tiada dipercayai telah dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM180 akibat kejadian itu.

Susulan tangkapan ke atas suspek, polis turut merampas beberapa peralatan spanar, pakaian, bateri kereta dan sebuah kenderaan jenis Proton Saga BLM yang digunakan semasa kejadian.

“Ujian saringan air kencing yang dilakukan tidak mengesan sebarang pengambilan dadah dan semakan juga mendapat suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

“Modus operandi suspek adalah menyasarkan kereta lama yang diparkir di tepi jalan dan mencuri bateri kereta untuk dijual,” ujarnya.

Menurut Mohamad Farouk, suspek kini direman selama empat bermula semalam sehingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 379(1) Kanun keseksaan kerana melakukan kegiatan curi.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam apa apa perbuatan melakukan kesalahan curi komponen kenderaan bermotor. – MalaysiaGazette