KUANTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih baik untuk beliau menjaga kepentingan rakyat berbanding berdebat, yang tidak membawa sebarang hasil selepas perdebatan itu selesai.
Beliau berkata, ia boleh disaksikan menerusi sesi debat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan sebelum ini Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan antara Anwar dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berlangsung pada Mei lepas.
“Saya sudah mengatakan dari segi debat ini tidak membawa hasil pun… setakat habis debat, habislah. Orang ini bawa penyokong, orang itu bawa penyokong dan penyokong bersorak-sorak dalam dewan. Itu sahaja.
“Kita dalam kerajaan lebih daripada berdebat. Kita pastikan apa yang dirancang (dan) diumumkan dilaksanakan. Kalau timbul masalah (seperti) kos sara hidup yang meningkat, kita kena tengok keadaan ini untuk mengurangkan beban rakyat.
“Tugas kerajaan itu banyak dan tugas kita bukan setakat bercakap, tetapi kita juga melaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Keluarga Malaysia sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini. – BERNAMA