KUALA LUMPUR – Empat suspek lelaki yang telah diburu polis dalam satu pergaduhan di Banting dekat sini akibat mabuk baru-baru ini diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, kesemua individu yang merupakan warga tempatan itu dicekup polis dalam beberapa tangkapan berasingan pada Khamis lalu.
“Dalam tangkapan pertama pukul 1.30 pagi di Genting Highlands, Pahang, seorang suspek lelaki berusia 24 tahun yang dipukul menggunakan topi keledar dalam pergaduhan terbabit berjaya dicekup.
“Tangkapan suspek kedua menyusul lebih kurang pukul 3.30 pagi di Banting melibatkan lelaki berusia 18 tahun yang berada di lokasi semasa kejadian pergaduhan itu.
“Hasil soal siasat terhadap tangkapan kedua itu, kemudian berjaya membawa polis kepada penahanan dua lagi suspek lelaki berusia 22 dan 26 tahun pada jam lebih kurang pukul 11 malam di sekitar Banting,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Ridhwan, siasatan juga mendapati suspek ketiga dan keempat ini adalah individu yang memukul suspek pertama yang ditahan menggunakan topi keledar dan tangan.
Menurutnya, dua suspek ini kini berjaya direman selama empat hari sehingga Isnin 31 Oktober ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut polis.
“Kertas siasatan kes tersebut akan dilengkapkan segera dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi cadangan pertuduhan di mahkamah,” ujarnya.
Pada 27 Oktober lalu, polis telah mempergiatkan usaha memburu sekumpulan individu yang tular selepas terlibat dalam pergaduhan di Banting, kira-kira pukul 2.05 pagi, Selasa lalu.
Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 160 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette