IMBAS KEMBALI. Antara 24 rakyat Malaysia yang berjaya dibawa pulang ke tanah air selepas menjadi mangsa penipuan skim pekerjaan dan pelancongan di Kemboja sejak dua bulan lepas ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2022.

KUANTAN – Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Kemboja telah berjaya membawa pulang seramai lima orang lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja semalam.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kelima-lima mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pukul 12.05 tengah hari semalam.

“Mereka selamat tiba di tanah air melalui penerbangan AirAsia AK541 dari Siem Reap, Kemboja sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan selanjutnya untuk membantu siasatan.

“Kejayaan membawa pulang mangsa-mangsa sindiket ini secara berterusan adalah hasil kerjasama rapat di antara pihak Kemeterian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan pihak Kerajaan Kemboja yang turut memberikan perhatian serius berhubung isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Indera Mahkota di Kuantan pada Sabtu.

Sehingga  28 Oktober lalu, Wisma Putra telah merekodkan seramai 453 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Daripada bilangan tersebut, seramai 269 orang telah dihantar pulang, manakala 52 orang lagi masih berada di dalam depoh imigresen di negara-negara berkenaaan bagi proses selanjutnya.

Saifuddin berkata, kementerian juga akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi mengesan seramai 132 orang lagi yang dilaporkan masih belum dapat dijejaki setakat ini.

Dalam perkembangan yang berasingan, seramai tujuh  orang warganegara Malaysia yang bekerja sebagai pelabur mata wang asing di sempadan Kemboja-Vietnam akan dihantar pulang ke tanah air hari ini dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak boleh dikategorikan sebagai mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan mengambil kira kesemua mereka bekerja secara sukarela dan bebas untuk keluar masuk dari kawasan tempat kerja.

Kerajaan menasihatkan supaya warganegara Malaysia yang ingin bekerja di luar negara supaya sentiasa mematuhi peraturan sesebuah negara, memastikan kontrak pekerjaan dimeterai serta visa pekerjaan diperolehi terlebih dahulu sebelum mengadakan perjalanan ke negara destinasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast