BANGI – Tindakan mengambil pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding atas kuota PKR pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak menimbulkan konflik dalam Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, pencalonan seperti Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Datuk Husam Musa mewakili PKR telahpun dimaklumkan dalam Majlis Presiden PH, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tak ada masalah. Dia bertanding atas simbol PH.
“Kawasan itu kawasan diperuntukkan kepada PKR,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Muktamar Nasional kali ke-16, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) di sini, hari ini.
Beliau ditanya media sama ada pencalonan pemimpin Amanah atas tiket PKR akan menimbulkan konflik dalam PH.
Sebelum ini, PKR mengumumkan Nik Omar dan Husam akan bertanding atas tiket kerusi PKR.
Nik Omar akan menjadi calon di Pasir Salak manakala, Husam di Pasir Mas.
Sementara itu Anwar berkata, terdapat pertimbangan dilakukan PKR terhadap kawasan yang diperuntukkan kepada Nik Omar dan Husam.
“Jadi, pertimbangan kita mengenai Nik Omar, dia rasa di Kelantan tidak sesuai, jadi beri laluan di Pasir Salak, kerana rasa ketokohan dia boleh memenangkan beliau.
“Husam seorang teman akrab kepada Nik Omar dan anak murid kepada Tok Guru Nik Aziz. Jadi (letak) di Pasir Mas,” ujarnya.
Anwar turut memberitahu, hubungan di antara pemimpin-pemimpin PH ketika ini sangat baik dan ia sukar untuk diretakkan.
“Jika lihat keadaan sekarang hubungan sangat baik. Saya dan Mohamad Sabu, Anthony Loke Siew Fook dan pimpinan lain sangat mantap, kukuh dan sukar diretakkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette