Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bercakap pada sidang media ketika menghadir ke Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antalogi Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1), Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Datuk Radzi Jidin yang dinamakan Perikatan Nasional (PN) sebagai calon yang bakal bertanding di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ini yakin pengundi akan memilihnya.

Keyakinan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bersandarkan kepada hubungan baiknya dengan masyarakat sekitar kawasan pentadbiran berkenaan selama empat tahun ini.

Malah, hubungannya dengan  penjawat awam juga baik.

“Apabila bercakap tentang pertandingan di Putrajaya, saya tinggal di sini sejak empat tahun lalu bermula 2018. Saya pernah tinggal di Flat Larai, Presint 10, banyak bergaul dengan komuniti setempat khususnya jawatankuasa-jawatankuasa masjid dan surau, masyaraakat dan kepimpinan persatuan penduduk, persatuan sukan.

”Insya Allah jaringan yang ada dalam tempoh saya berada di sini, di samping hubungan kakitangan awam sewaktu berada di hal ehwal ekonomi, di KPM memberi ruang sebaik-baiknya saya menyantuni pengundi sepanjang empat tahun yang lalu.

”Dengan jaringan yang ada, saya yakin pengundi Putrajaya akan melihat PN sebagai satu pilihan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Precint 16(1).

Beliau berkata, jika diberi peluang menang di Parlimen Putrajaya, PN akan melonjakkan Putrajaya ke peringkat lebih baik dengan menaik taraf infrastruktur yang mempunyai kelemahan pada waktu ini.

“Walaupun Putrajaya ini kawasan pentadbiran kerajaan dan bandar terancang namun hasil perbincangan kita dengan semua pihak, banyak perkara yang perlu ditambah baik.

“Ramai yang kata penyelenggaran kuarters tidak diberi perhatian, bas tidak ada, isu berkaitan parkir ini perkara-perkara yang sentiasa disampaikan kepada kita sewaktu bertemu dengan masyarakat,” jelasnya.

Sebagai rekod, Parlimen Putrajaya kini disandang oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,m yang berjaya mengekalkan kerusi berkenaan.

Beliau menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Samsu Adabi Mamat.

Mengulas lanjut, Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PN berkata, perikatan tersebut akan menawarkan kerajaan bersih dan stabil dalam manifesto pada kali ini.

“Kita memberi penekanan kerajaan yang bersih dan stabil. PN Best ini yang kita ingin tekankan dalam pembangunan masyarakat merangkumi semua segmen masyarakat bagi memastikan apabila kita bentuk kerajaan, kita bersedia.

“Dan perkara pertama kita akan lihat adalah cabaran yang dihadapi oleh negara dan pendekatan melonjakkan negara ke arah lebih tinggi,” katanya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast