rakyat BN
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Majoriti rakyat sedang merindui Barisan Nasional (BN) untuk kembali dominan sebagai kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat bersikap demikian selepas menempuh kesengsaraan selama 39 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Beliau menyeru rakyat agar bersama-sama menginsafi kekhilafan yang berlaku pada PRU14 angkara pembohongan, fitnah dan janji palsu.

“Kita pastikan BN dan rakyat berpisah tiada, seiring sejalan dalam mengembalikan ‘kestabilan dan kemakmuran’ untuk semua.

“Insya-Allah kesinambungan dapat diteruskan dengan manifesto PRU-15 BN yang realistik serta berkesan bakal ditawarkan,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memberitahu, harapan rakyat itu perlu dipenuhi oleh seluruh jentera BN dengan berusaha kuat memenangkan BN pada 19 November nanti.

“Kepada Allah SWT jua kita memohon bantuan dan pertolongan selepas segala daya upaya,” jelasnya.

Beliau menambah, hakikat bahawa BN membawa ‘kestabilan dan kemakmuran’ setiap masa dan di mana sahaja bukan suatu mitos.

Ahmad Zahid berkata, ia bukan rekaan atau populisme politik kerana telah terbukti di Melaka selepas pilihan raya negeri (PRN) dilangsungkan pada November 2021.

Menurut beliau, selepas didominasi BN, Melaka berada di kedudukan kelima dalam pelaburan bagi sektor pembuatan manakala pelaburan yang masuk telah mewujudkan begitu banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya.

“Ekonomi Melaka berkembang positif dengan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 2.9 peratus setakat Mac lalu.

“Manakala kadar pengangguran mencatatkan kedudukan kedua terendah membuktikan pentadbiran kerajaannya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, situasi sama berlaku di Johor setelah BN kembali mendominasi pentadbiran negeri itu pada Mac lalu.

“Sebanyak RM60.9 bilion sekali gus menjadi pelaburan tertinggi pernah dicatatkan negeri itu berbanding RM24.5 bilion pada 2019,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Pahang di bawah pentadbiran BN berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM3 bilion kepada RM950 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast