Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM123,000 untuk membantu 246 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara menerusi program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin.

Pelajar yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 secara one off dan akan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.

Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff  berkata, program berkenaan untuk membantu pelajar yang kurang berkemampuan menyara hidup di IPT, dalam masa yang sama meringankan beban kewangan.

“Dalam usaha meningkatkan akses pendidikan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang, PTPTN telah mengadakan pelbagai program berimpak tinggi bagi membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya. Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berharap bantuan berkenaan akan menjadi motivasi untuk pelajar IPT yang layak menerimanya untuk belajar bersungguh-sunggu sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

“Jadikan bantuan ini sebagai pendorong atau motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh dan fokus kepada pembelajaran bagi mencapai keputusan yang cemerlang sekali gus mendapat pekerjaan yang baik serta mampu mengubah nasib keluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa,” tambahnya.

Tambah beliau, bantuan akan dilaksanakan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPT terlibat agar agihan dapat dibuat secara teratur.

Penyampaian bantuan telah bermula 8 Oktober 2022 lalu bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas dan seterusnya akan ke kawasan-kawasan yang lain, yang disempurnakan oleh Apli.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengurus Besar Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Terengganu Azizah Nasik@Abd Rashid. -MalaysiaGazette