Syerleena.

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang dijangka mempertaruhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid di kerusi Parlimen Bukit Bendera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sumber MalaysiaGazette berkata, ini merupakan pencalonan sulung Syerleena di peringkat parlimen selepas dikatakan mempunyai rekod baik sebagai ADUN Seri Delima yang terletak di bawah Parlimen Bukit Gelugor.

Jelasnya, kepimpinan DAP negeri meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap beliau sebagai winnable candidate.

Selain itu, sumber menegaskan Syerleena akan menjadi ahli Parlimen wanita Melayu kedua mewakili DAP selepas pengumuman pencalonan Young Syefura Othman bagi Parlimen Bentong, Pahang.

“Syerleena diangkat sebagai calon wanita Melayu mewakili DAP Pulau Pinang untuk berentap pada PRU15.

“Bagaimanapun, kami difahamkan selain Syerleena ada seorang lagi calon wanita akan dipertaruhkan DAP Pulau Pinang bagi PRU ini namun keputusan itu belum dimuktamadkan lagi.

“Wanita itu dikatakan calon muka baharu dan keputusan mengenainya akan diputuskan dalam satu mesyuarat hari ini memandangkan hari Ahad Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook akan mengumumkan nama calon DAP bertanding Parlimen di Pulau Pinang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Untuk rekod, Syerleena memenangi kerusi DUN Seri Delima pada PRU14 dengan majoriti undi 13,211.

Beliau juga merupakan penolong setiausaha publisiti DAP negeri bagi 2021 hingga 2024.- MalaysiaGazette