Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. Foto AFFAN FAUZI, 21 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dipilih sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi tempoh tiga tahun bermula tahun depan sehingga 2025.

Dr. Mohammed Azman  merupakan rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan tertinggi tersebut dalam badan antarabangsa yang menerajui bidang keselamatan sosial di peringkat global.

“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli badan antarabangsa ISSA kepada saya untuk jawatan Presiden yang ke-17.

“Bagi saya, pemilihan ini adalah kejayaan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan semua warga PERKESO kerana ia melonjakkan lagi kedudukan Malaysia di mata masyarakat antarabangsa,” katanya mengulas tentang pemilihan tersebut.

“Menerusi ISSA, saya akan terus memberikan komitmen yang terbaik untuk meningkatkan sistem perlindungan keselamatan sosial agar setiap ahli ISSA melaksanakan perlindungan yang komprehensif dan inklusif di negara masing-masing demi kesejahteraan sejagat,” tambahnya.

Pemilihan tersebut dijalankan oleh ISSA sewaktu Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2022 di Maghribi, baru-baru ini.

Sebelum pemilihan ini, Dr. Mohammed Azman pernah menerima pengiktirafan antarabangsa lain iaitu Frances Perkins Award 2020 yang dianugerahkan oleh International Association of Industrial Accident Boards and Commissions (IAIABC) yang berpangkalan di Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah IAIABC dan orang Asia pertama yang pernah menerima anugerah Frances Perkins.

Selain itu, Dr. Mohammed Azman turut memegang jawatan sebagai Presiden Asean Workers Compensation Association (AWCA), Ahli Lembaga Pengarah Asean Social Security Association (ASSA) dan Ahli Majlis Vision Zero Global Alliance.

SSA yang ditubuhkan pada 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland merupakan pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial yang bernaung di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

ISSA berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi serta inovasi dalam bidang keselamatan sosial.

Malaysia terima pengiktirafan WSSF.

Selain itu, Malaysia juga menerima pengiktirafan antarabangsa menerusi aspek perlindungan keselamatan sosial pada WSSF 2022 apabila Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman dan pegawai-pegawai kanan Perkeso dijemput untuk berkongsi mengenai pencapaian dalam bidang keselamatan sosial di forum tersebut.

Sewaktu WSSF 2022, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman telah  berkongsi pengalaman Malaysia dalam sesi plenari “Social security management in the human-digital age”, di mana beliau menjelaskan tentang pengurusan jaringan perlindungan keselamatan sosial PERKESO yang menggabungkan elemen digital serta kemahiran manusia menerusi Program Social Synergy dan Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs di Malaysia.

Beberapa pegawai kanan daripada PERKESO dan juga KWSP pula telah dijemput untuk menyampaikan penemuan hasil penyelidikan dan inovasi  menerusi Suruhanjaya Teknikal ISSA masing-masing yang telah memberikan manfaat kepada kumpulan sasar serta pemegang taruh.

Pusat Rehabilitasi PERKESO juga diberi peluang untuk berkongsi rawatan rehabilitasi menggunakan teknologi canggih dengan membuat demonstrasi rehabilitasi robotik di forum tersebut untuk menonjolkan kemajuan dan dinamisme perlindungan keselamatan sosial Malaysia.

Bertemakan ‘Keselamatan Sosial Bagi Masyarakat Yang Berdaya Tahan dan  Inklusif’, WSSF 2022 yang berlangsung dari 23 hingga 28 Okt lepas, menghimpunkan lebih 2,000 pengamal keselamatan sosial dari kalangan 321 ahli ISSA daripada 161 negara. Kali ni, agensi keselamatan sosial Maghribi, CDG Prévoyance menjadi tuan rumah kepada WSSF 2022.

Malaysia bakal jadi tuan rumah Persidangan ISSA, WSSF.

Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah bagi Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) ke-7 yang akan diadakan pada 2025.

Bagi tujuan itu, Perkeso telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) dengan ISSA untuk menjadi hos kepada WSSF 2025 yang dijangka menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal dan pakar keselamatan sosial daripada 161 buah negara. Majlis memeterai MoU tersebut dilaksanakan sewaktu WSSF 2022 berlangsung.

WSSF, yang merupakan acara antarabangsa yang paling utama dalam bidang keselamatan sosial, menggabungkan Perhimpunan Agung ISSA dan Persidangan Majlis ISSA.

Penganjuran persidangan kemuncak WSSF diadakan setiap tiga tahun mengumpulkan menteri, pegawai kanan, pengamal dan pakar dalam bidang keselamatan sosial dari negara-negara ahli bagi membahaskan isu semasa serta berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan terbaik.

Dalam satu kenyataan, Perkeso berkata, menerusi mandat pemilihan sebagai Presiden ISSA untuk tempoh 2023-2025 dan pilihan Malaysia sebagai tuan rumah WSSF 2025, adalah diharapkan agar agenda keselamatan sosial di Malaysia akan terus diperkukuh dan dikembangkan lagi demi kesejahteraan golongan sasar serta peningkatan tahap profesionalisme para pengamal keselamatan sosial di negara ini. – MalaysiaGazette