Luqman Long

IPOH – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menafikan kenyataan Pengerusi Parti MUDA Perak, Mutalib Uthman bahawa parti itu mencalonkan beliau untuk bertanding di Parlimen Tapah.

Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long dalam satu kenyataan berkata, Parlimen Tapah bukan milik MUDA sebaliknya ia adalah kerusi Pakatan Harapan (PH).

“Komitmen MUDA-Harapan adalah untuk mengelakkan sebarang pertindihan kerusi antara MUDA-Harapan.

“Sebarang kenyataan yang bercanggah dengan komitmen MUDA-Harapan ini adalah bukan kenyataan rasmi Muda,” katanya.

Luqman berkata, sehingga 29 Oktober lalu MUDA hanya mengumumkan tiga kerusi iaitu Parlimen Kepala Batas, Parlimen Tanjung Karang dan Parlimen Tanjung Piai.

Rundingan antara MUDA dan Harapan berkenaan jumlah kerusi telah dimuktamadkan pada hari yang sama.

Tambah beliau, Pengarah Pilihanraya MUDA Amira Aisya akan mengumumkan beberapa lagi kerusi yang akan ditandingi parti itu esok di Sabah dan pada 2 November di Muar, Johor.

Beliau menegaskan semua kerusi yang akan ditandingi MUDA akan diumumkan oleh Amira Aisya.

“Semua calon MUDA adalah mereka yang muda, aktif di dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk Malaysia.

“Semoga usaha MUDA untuk membina semula negara Malaysia ini menerima sokongan rakyat Malaysia dan dipermudahkan Tuhan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum itu, Mutalib dalam kenyataan di media sosial hari ini berkata, parti MUDA meletakkan beliau untuk bertanding di Parlimen Tapah.

Mutalib yang juga pengasas dan penaja bersama parti MUDA berkata, keputusan bertanding di kerusi itu hasil rundingan kerjasama politik di antara MUDA dan PH.

Keputusan itu juga susulan kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai status kerusi Parlimen Tapah dan Sungai di Perak serta Sembrong di Johor.

“Untuk menyahut seruan, perjuangan ‘MUDA melawan Menteri’ sebagaimana di kerusi-kerusi lain yang ditandingi MUDA, saya, Mutalib Uthman dengan rendah diri akan menjadi calon di Parlimen P72 Tapah ini.

“Saban hari saya mengulang kata, akan berjuang untuk Malaysia yang lebih baik.

“Perjuangan yang lebih baik bermula dengan perlaksanaan kata-kata (walk the talk). Mohon doa semua. Kita pasti boleh!” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Semakan mendapati Mutalib telah pun memadam hantaran tersebut.

Parlimen Tapah merupakan kerusi Barisan Nasional disandang oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC. – MalaysiaGazette