Pengarah Pilihan Raya MUDA, Amira Aisya Abd Aziz bercakap pada sidang media selepas pengumuman calon PRU15 di Pejabat Parti MUDA, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM,29 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan tiga calonnya yang akan bertanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kesemua calon itu akan bertanding di kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Selangor dan Johor melawan penyandang berstatus menteri.

Menurut Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz, beberapa lagi kerusi yang akan ditandingi parti itu bakal dimaklumkan dalam masa terdekat termasuk satu kerusi di Sabah.

Calon MUDA P.041 Kepala Batas, Danial Abdul Majeed bercakap pada sidang media selepas pengumuman calon PRU15 di Pejabat Parti MUDA, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM,29 OKTOBER 2022.

“Calon pertama adalah Danial Abdul Majeed yang bertanding di Parlimen Kepala Batas di mana penyandangnya adalah Datuk Seri Reezal Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Katanya, Daniel merupakan seorang jurutera berusia 26 tahun itu mampu memberikan saingan di kerusi tersebut atas statusnya sebagai anak jati Pulau Pinang.

Calon MUDA P.095 Tajong Karang, Siti Rahayu Baharin bercakap pada sidang media selepas pengumuman calon PRU15 di Pejabat Parti MUDA, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM,29 OKTOBER 2022.

Calon Parlimen Tanjung Karang pula akan diwakili Siti Rahayu Baharin yang merupakan seorang guru serta ibu tunggal berusia 41 tahun selain aktif sebagai aktivis pendidikan.

Calon MUDA P.165 Tanjung Piai, Lim Wei Jiet bercakap pada sidang media selepas pengumuman calon PRU15 di Pejabat Parti MUDA, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM,29 OKTOBER 2022.

Manakala Lim Wei Jiet yang merupakan peguam berusia 31 tahun dan bergiat sebagai aktivis hak asasi manusia itu akan bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Siti Rahayu bertanding di kerusi yang disandang oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar manakala Lim Wei Jiet bertanding di kerusi disandang Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Sementara itu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, semua calon yang bertanding wajib mengisytiharkan harta dan aset yang dimiliki.

“Setiap calon wajib isytiharkan aset untuk pastikan ketelusan dan tidak bersandarkan politik wang kuasa serta menjamin akauntabiliti calon,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast