Salahuddin Ayub

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil langkah segera dalam memudahkan pengundi yang berada di Singapura keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, SPR perlu membuka pusat pengundian di Kedutaan Malaysia di republik itu.

“Kini, hampir 200,000 orang pengundi Johor yang bekerja atau menetap di Singapura.

“PH Johor menyarankan Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu memastikan kakitangan di setiap sempadan Johor-Singapura mencukupi bagi melancarkan pergerakan perjalanan keluar masuk pengundi yang pulang mengundi di kawasan masing-masing pada 19 November ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Salahuddin mencadangkan suruhanjaya itu mengadakan perbincangan dengan semua parti politik mengenai perjalanan PRU15.

Katanya, ketiadaan perbincangan mengenai perjalanan PRU15 akan menjejaskan kelancaran dan ketelusan perjalanan pilihan raya itu. – MalaysiaGazette