Muhyiddin saman
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa yang memulakan gerakan untuk membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mendedahkan Mahathir kemudian menarik balik keputusan itu pada saat-sat akhir selepas Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai perdana menteri.

“Sebenarnya, Tun Mahathir telah memulakan gerakan untuk Bersatu keluar dari PH. Tetapi beliau membuat pusingan u di saat akhir apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuaratnya pada 21 Februari 2020 membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

“Sebelum itu, kalau kita masih ingat, beliau telah didesak oleh beberapa pihak di dalam PH supaya berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai PM-8.

“Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan MPT Bersatu supaya kekal berada di dalam PH. Tetapi MPT Bersatu hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya,” kata Muhyiddin.

Pengerusi Perikatan Nasional mendedahkan perkara tersebut selepas beberapa pihak menuduhnya sebagai pengkhianat Mahathir.

Menurut Muhyiddin, beliau terpaksa memperjelaskan perkara itu supaya masyarakat tidak memandang serong terhadapnya.

Tambah Muhyiddin, Mahathir tidak memberitahu niatnya untuk meletakkan jawatan walaupun mereka berdua berjumpa pada hari kejadian.

“Setelah saya pulang ke rumah, saya menerima sepucuk surat daripada Tun Mahathir memaklumkan kepada saya bahawa beliau meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu, Perdana Menteri dan semua jawatan dalam kerajaan.

“Pada masa yang sama, sepucuk surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dihantar ke Istana Negara.

“Saya amat terkejut dengan tindakan Tun Mahathir meletak jawatan. Saya bergegas semula ke rumahnya untuk memujuk beliau supaya menarik balik peletakan jawatannya. Namun beliau berkeras untuk meneruskan niatnya,” kata Muhyiddin.

Menurutnya, Mahathir tetap dengan keputusannya walaupun pemimpin Bersatu, Pas, UMNO, GPS dan Warisan berkumpul di rumah beliau untuk memujuknya supaya tidak meletakkan jawatan.

Muhyiddin berkata, Mahathir memberikan alasan bahawa peletakan jawatan itu disebabkan beliau tidak lagi mendapat sokongan Majlis Tertinggi Bersatu.

Mahathir juga meletakkan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan MPT Bersatu untuk keluar PH.

“Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan MPT Bersatu supaya kekal berada di dalam PH.

“Tetapi MPT Bersatu hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya. Keputusan ini dibuat kerana memikirkan Bersatu semakin kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak di dalam PH terutamanya parti DAP yang dilihat gagal menjaga sensitiviti orang Islam dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Dalam dua pilihan raya kecil di Semenyih dan Tanjung Piai, calon Bersatu yang bertanding atas tiket PH kalah. Sokongan pengundi Melayu kepada Bersatu ketika itu merosot walaupun kedua-kedua kerusi ini dimenangi oleh Bersatu dalam PRU-14,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, Mahathir tidak sepatutnya meletakkan jawatan.

Ini kerana pada masa itu telah ada 138 Akuan Bersumpah Ahli-Ahli Parlimen dari Bersatu, PKR, Pas, BN, GPS, PBS dan Warisan yang menyokong beliau sebagai Perdana Mmenteri.

“Saya adalah salah seorang Ahli Parlimen yang telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

“Maksudnya, walaupun Bersatu keluar PH, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak terjejas. Malangnya, Tun Mahathir meletak jawatan juga atas kerelaannya sendiri,” jelas Muhyiddin.

Muhyiddin juga berkata, pada awalnya dia menolak cadangan Pas dan UMNO menjadi calon Perdana Menteri kerana Bersatu mahu Mahathir terus menjawat jawatan tersebut.

Malangnya, Mahathir gagal mendapat sokongan majoriti selepas ahli Parlimen diarahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ketika itu Muhyiddin berkata, beliau sekali lagi didatangi pemimpin Pas dan UMNO yang menyatakan sokongan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sebagai tanda hormat saya kepada Tun Mahathir, saya telah menemui beliau untuk meminta sokongannya.

“Beliau beritahu saya beliau sedia memberi sokongan kepada saya sebagai Perdana Menteri jika saya berjaya mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen. Saya beritahu Tun Mahathir, Insya-Allah saya akan mendapat sokongan majoriti.

“Namun, Tun Mahathir membuat pusingan u sekali lagi apabila beliau mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk berlawan dengan saya. Allahuakbar,” kata Muhyiddin.-MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Orang tua munafik . Tak pe lah tuhan dah tunjuk kepada kita semua . Siapa mereka . Ketentuan azali dari ketentuan takdir tuhan tetap berlaku .

Comments are closed.