KUALA LUMPUR – Teka teki kedudukan bekas Ahli Parlimen Sepang, Datuk Mohamed Hanipa Maidin digugurkan dari senarai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mempertahankan kerusi itu sudah terjawab.
Desas desus itu berakhir dengan pengesahan oleh Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH), Aiman Athirah Sabu, bahawa beliau telah disenaraikan oleh pucuk pimpinan parti Amanah bertanding di Parlimen itu.
“Saya, Aiman Athirah telah diamanahkan oleh Parti Amanah Negara (Amanah) untuk mempertahankan kemenangan PH P113 Sepang.
“Terima kasih kepada parti dan pimpinan terutama Wanita Amanah Nasional, Amanah Selangor dan Amanah Sepang atas kepercayaan untuk saya menggalas tanggungjawab ini.
“Saya mohon doa dan kerjasama semua untuk membantu saya dalam menjalankan amanah yang besar ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Semalam juga, Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengumumkan pengguguran Mohamed Hanipa sebagai penyandang kerusi Parlimen Sepang.
Tempat bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu akan digantikan oleh Aiman Athirah.
Sebelum ini, timbul desas desus Mohamed Hanipa tidak akan dicalonkan semula pada PRU15 disebabkan faktor kesihatan.
Pada Julai 2018, Mohamed Hanipa pengsan ketika menghadiri majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana.
Sebelim itu, pada penggal sidang Dewan Rakyat 4 April 2016, beliau dimasukkan ke hospital selepas pengsan selepas secara tiba-tiba mengalami pening kepala dan disahkan akibat serangan angin ahmar. – MalaysiaGazette