Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor melakukan jualan kenderaan kepada pembida pada Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ negeri Selangor di Dewan Melati, Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Sebanyak RM527,878 berjaya diperoleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor hasil lelongan kenderaan sita siri ketiga untuk tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, ia membabitkan 135 kenderaan yang dilucut hak dalam jualan awam yang dihadiri 92 pembida.

“Kenderaan yang dilelong ini telah dilucut hak melalui perintah mahkamah mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya bercakap kepada media ketika hadir pada Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ Selangor di Dewan Melati, Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 31 OKTOBER 2022.

Jelasnya, kenderaan yang disita akan dilelong sekiranya tiada tuntutan daripada pemilik dalam tempoh 90 hari bermula tarikh disita.

Kesemua 135 kenderaan yang dilelong itu membabitkan sebanyak 97 motosikal, kereta (17), kenderaan pelbagai guna (tujuh), jip (tiga), bas dan van masing-masing empat unit, dua lori kargo am serta sebuah semi treler.

Jumlah kutipan sitaan bagi siri kali ini mencecah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kutipan lelongan tahun lalu yang hanya merekodkan RM174,999 membabitkan 75 kenderaan.

Khairul berkata, pembida yang terdiri daripada pelbagai pihak termasuk penjual kenderaan, pemilik bengkel dan individu perseorangan perlu membeli dokumen lelongan berharga RM70.

Ujar Khairul, lelongan yang menjadi tumpuan utama hari ini adalah kereta jenis Honda Integra dengan harga bidaan tertinggi sebanyak RM58,000.

Setakat hari ini, JPJ Selangor meraih lebih RM5.4 juta hasil lelongan awam kenderaan sita sejak 2019 yang melibatkan 618 kenderaan. – MalaysiaGazette