Empat parti besar ini akan berentap pada PRU15.

SETIAP kali tiba musim pilihan raya umum, kemunculan beberapa parti baharu secara tiba-tiba bukan perkara mengejutkan.

Selalunya, penubuhan parti baharu atau ‘dihidupkan’ semula parti yang tidak aktif berlaku disebabkan kekecewaan orang politik.

Kerana dipecat atau kecewa dan tidak dapat meneruskan kesinambungan politik dalam parti sedia ada, mereka mengintai parti-parti kecil yang tidak aktif untuk dijadikan medan perjuangan.

Sebab itu, selepas penubuhan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan terbaharu Parti Penyatuan Nasional (PPN) adalah biasa.

Malah, banyak lagi parti-parti lama yang tidak timbul dalam arena politik Malaysia yang mungkin menjadi pilihan orang politik untuk diaktifkan, mungkin pada PRU akan datang.

Antaranya, Kongres Ceylonese Malaysia (MCC), Parti Punjabi Malaysia (PPM), Parti Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Bersatu Sasa Malaysia (MUPP), Parti Generasi Baru (NewGen), Parti Alternatif Rakyat (PAP), Parti Bersama Malaysia (MUP), Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA), Parti Kemajuan Malaysia (MAP) dan banyak lagi.

Selain itu, ada parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Makkal Sakti Malaysia (MMSP), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Parti Keadilan India Malaysia (MIJP), Parti Barisan Pulau Pinang (PFP) dan Parti Kongres Keadilan India Malaysia (KKIM).

Semua parti ini berdaftar dengan RoS tetapi tidak aktif kerana untuk menggerakkan satu-satu parti memerlukan sumber kewangan yang besar.

Apa yang menarik dalam PRU15 ini ialah kemunculan PPN, yang dikatakan akan bertanding di lebih 150 kerusi Parlimen.

Walaupun, tidak mempunyai nama besar atau orang politik tetapi PPN yang hanya membariskan individu tertentu dan golongan profesional dikatakan sudah nekad untuk bertanding.

PPN IBRAHIM YAHAYA
Presiden penaja PPN, Ibrahim Yahaya bercakap kepada pemberita selepas selepas mesyuarat persiapan PPN untuk PRU15 di Kuala Lumpur.

Jika benar dan mendapat kelulusan RoS sebelum 5 November ini, PRU15 lagi meriah dengan menyaksikan pertandingan empat hingga lima penjuru.

Yang pasti setakat ini empat parti gabungan iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di semua 222 kerusi Parlimen.

Menurut Presiden Penaja PPN, Datuk Ibrahim Yahaya, parti pimpinannya itu sudah pun bersiap sedia dengan jentera untuk membantu calon yang bertanding.

Katanya, PPN tidak mementingkan kemenangan tetapi misi utama parti itu ialah mengutamakan kebajikan atau pembelaan rakyat Malaysia.

“Memandangkan PRU ini berlangsung dalam musim banjir, PPN juga telah menyiapkan jenteranya yang akan bergerak memberi bantuan kepada rakyat yang terlibat bencana alam.

“Ini yang kita dahulukan dan utamakan, bukan hanya mementingkan parti dan diri sendiri. Saya harap kita semua dilindungi Allah,” katanya baru-baru ini.

Selain meletakkan calonnya di Semenanjung, PPN juga dijangka bertanding di Sabah dan Sarawak.

Tidak diketahui sejauhmana PPN mendapat sokongan rakyat di dua negeri itu, tetapi Ibrahim tetap yakin dapat bertapak selepas bertanding pada PRU15 yang ditetapkan 19 November ini.

Satu perkara yang boleh dikatakan semangat juang yang tinggi PPN ialah parti itu tidak bergabung dengan mana-mana pakatan sama ada BN, PH, PN mahu pun GTA sebaliknya akan bergerak secara solo.

“Kita tidak masuk mana-mana gabungan. Kita bertanding secara individu menggunakan lambang PPN.

“Tujuan kita menyertai PRU adalah hendak menyatukan bukan memecahbelahkan, di samping PPN akan menjadi contoh dan model kepada parti lain supaya utamakan rakyat, bukan pentingkan diri sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette