KUALA LUMPUR – Pemudi Gerakan Tanah Air (GTA) pusat menasihatkan Pejuang Muda Pahang dan Gerakan Muda GTA negeri itu agar bersabar dan tidak cepat membuat keputusan soal calon di kerusi Parlimen Temerloh.
Ketuanya, Azliza Rajiain berkata, sehingga kini Majlis Tertinggi GTA masih bertungkus lumus menyelaraskan kerusi untuk semua bakal calon dari setiap parti komponen serta yang mewakili pertubuhan dan badan bukan kerajaan.
Kata beliau, selagi belum dinyatakan secara rasmi calon GTA untuk PRU15, elakkan bertindak terburu-buru kerana ia akan mencerminkan ketidakbijaksanaan kepimpinan muda.
“Saya mengambil maklum tindakan Pejuang Muda Pahang dan Gerakan Muda GTA Pahang yang mengutarakan isu calon Parlimen Temerloh.
“Soal calon serahkan sahaja kepada Majlis Tertinggi GTA yang ketika ini masih menyelaraskan senarai calon. Jangan kita terburu-buru sehingga dilihat terlebih sudu dari kuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tindakan kepimpinan muda Pejuang dan GTA Pahang yang mendesak supaya Penyelaras GTA Parlimen Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan dicalonkan bertanding di kerusi Parlimen itu.
Desakan itu dibuat selepas timbul desas-desus nama Pengerusi GTA Pahang, Aminuddin Yahaya disebut sebagai calon untuk bertanding Parlimen Temerloh pada PRU15 ini.
Ketua Pemuda Pejuang Muda Pahang, Mohamad Faiz Dzulkifli dilaporkan tidak akan teragak-agak meletakkan jawatan jika desakan tersebut tidak mendapat perhatian pucuk pimpinan parti.
Azliza kemudian mengingatkan semua kepimpinan muda GTA agar berhati-hati menggunakan nama ‘Gerakan Tanah Air’ dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan.
Ini kerana, nama itu adalah lambang konsensus semua parti komponen serta NGO dan NGI dalam Gagasan Bangsa.
“Kita mahu kepimpinan anak muda menjadi contoh kepada sahabat dalam parti lain. Suntikan nafas baharu inilah yang diperlukan untuk mengubah imej kewibawaan kepimpinan serta keunggulan kerajaan akan datang.
“Oleh itu, kita tunggu pengumuman rasmi calon GTA yang akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Pengerusi, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya. – MalaysiaGazette