Gopeng umpama ‘pekan koboi’ yang perlukan pembangunan mampan rayu pengundi kawasan.

GOPENG – Pengundi di Parlimen Gopeng, Perak mahu calon yang menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membangunkan kawasan pekan koboi itu.

Penduduk kawasan tersebut masih ingat tentang pembangunan yang dialami Gopeng ketika era Barisan Nasional (BN) mentadbir sebelum tsunami politik melanda pada 2008 yang menyaksikan kubu kuat Barisan Nasional itu bertukar tangan.

Norsadri Tahir yang sudah menetap di Gopeng hampir 50 tahun berkata, ketika ini tiada pembangunan berlaku di Gopeng dan keadaan menjadi lebih teruk ketika pandemik Covid-19 melanda dua tahun lepas.

NorSsdri Tahir bercakap ketika ditemubual berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 di Gopeng , Perak. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

“Gopeng ini kurang kemajuan, malam seperti ‘pekan mati’. Tidak ada apa-apa, wakil rakyat seperti tidak ambil kisah tentang kawasan ini sangat. Saya harap lepas ini adalah perubahan, wakil rakyat perlu rajin turun tengok apa keperluan rakyat, tolong meriahkan tempat ini. Dulu tempat ini meriah, zaman Barisan Nasional yang dulu-dulu.

“Wakil rakyat sekarang kita jarang nampak, ada banyak muka pemimpin kita nampak ketika musim undi, PRU sahaja. Kita warga Gopeng mahukan perubahan dalam diri pemimpin juga,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, baru-baru ini.

Bagi peniaga Chang Kok Sin yang sudah tinggal lebih 63 tahun, berharap supaya keadaan ekonomi dipulihkan segera.

Chang Kok Sin bercakap ketika ditemubual berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 di Gopeng , Perak. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

“Harapan kita satu sahaja, selesaikan isu ekonomi kita. Bagi selesai, bagi ‘cantik sikit’. Senang hendak cari makan sebab sekarang pasaran merudum, orang berniaga sangat susah. Kalau menang undi kali ini, tolong jaga rakyat sikit. Itu paling mustahak.

“Penduduk Gopeng memang susah sekarang ini, sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hingga sekarang. Dulu kita buka kedai sampai pukul lima, sekarang ada yang terpaksa tutup jam dua atau tiga petang lagi.

“Tukar kerajaan itu kita tidak pasti, tukar atau tidak. Tunggu hari last, kita tengok macam mana. Kita tidak boleh pilih sekarang, tengok apa mereka buat,” ujarnya.

Pengundi muda, Alex Kong, 28, mahu pengundi di kawasan itu membuat keputusan tepat sebelum memilih wakil rakyat atau parti yang diyakini mampu membela nasib mereka dan bukan hanya sekadar memberikan janji yang tidak boleh dilaksanakan selepas menang.

Alex Kong bercakap ketika ditemubual berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 di Gopeng , Perak. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

“Sebelum undi, baca semua maklumat dan berita betul-betul. Fahami semuanya, apakah parti politik yang baik dan semua yang telah dilaksanakan sebelum-sebelum ini.

“Sejak pandemik, kita sudah tukar kerajaan jadi saya rasa tidak begitu stabil dan tidak baik langsung untuk rakyat.

“Saya kalau boleh mahu memilih wakil rakyat yang buat kerja dan tidak cakap-cakap sahaja. Dulu tukar kerajaan tapi akhirnya kecewa kerana banyak tidak boleh buat. Sekarang saya positif dan tengok-tengok dulu,” ujarnya.

Seorang penduduk Gopeng yang masih tidak berpeluang mengundi kerana memiliki kad pengenalan merah, V Kannan, 64, sangat berharap supaya masalahnya bersama isteri dan anaknya dapat diselesaikan.

Chandran Doraisamy bercakap ketika ditemubual berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 di Gopeng , Perak. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

“Saya sudah tinggal di Malaysia sejak 63 tahun lepas, ibu saya bawa saya dari India ketika umur saya baru dua bulan sehinggalah kini, saya duduk di Gopeng bersama keluarga. Sehingga hari ini, kami ada masalah pengenalan. Tolonglah kami,” katanya.

Bagi Hanis Isa, beliau berharap Barisan Nasional (BN) akan menang besar bagi mewujudkan kestabilan politik dan semua kaum hidup bersatu dai bawah satu bumbung.

Hanis Isa bercakap ketika ditemubual berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 di Gopeng , Perak. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

“Kalau boleh hendak BN menang lagi banyak dan besar kerana selama ini kita boleh hidup bersama-sama tanpa sebarang isu termasuklah perkauman. Tidak mau pergaduhan.

“Juga tidak mahu termakan dengan janji-janji kosong, contoh seperti PTPTN hendak dimansuhkan. Kosong,” ujarnya. -MalaysiaGazette