3. Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah (3 dari kanan) pada Sidang Media sempena Majlis Konvokesyen Ke-34 UUM di Dewan Mayang Emas, The Jerai Hotel, Alor Setar.

ALOR SETAR – Seramai 6,611 graduan tahun 2021 bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-34 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan berlangsung selama lima hari di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, 70 peratus graduan adalah di kalangan B40, malah ada yang tinggal di pedalaman dan mereka mempunyai kisah luar biasa dalam perjalanan menggenggam ijazah demi mengubah nasib dan masa depan.

”Universiti berjaya mengeluarkan mereka daripada kemiskinan dan saya yakin cerita sebegini jika diangkat dalam media akan memberi inspirasi kepada beribu-ribu lagi mereka yang sedang belajar kerana media mempunyai sentuhan luar biasa,” katanya.

Daripada jumlah graduan (tidak termasuk penerima Ijazah Kehormat) berkenaan, 5,537 merupakan graduan sarjana muda dan 1,074 graduan pascasiswazah.

Daripada jumlah graduan pascasiswazah, 227 merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan (2), Doktor Pentadbiran Perniagaan (30), Ijazah Sarjana (691) dan Diploma Pascasiswazah (124).

Majlis konvokesyen ini juga meraikan 393 graduan antarabangsa dari 28 negara yang mana Indonesia mencatatkan jumlah teramai iaitu 117 graduan, diikuti China (82) dan Pakistan (43).

Majlis Konvokesyen ini juga menyaksikan seramai 868 graduan (13.12%) dari Ijazah Sarjana Muda mendapat Ijazah Kelas Pertama.

”Kita turut menyatakan kegembiraaan bahawa pencapaian kebolehpasaran graduan (GE) UUM telah mencapai 84% peratus, sekali gus meletakkan satu standard yang baik kepada para majikan,” ujarnya.

Pada majlis konvokesyen kali ini, UUM mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan ICT) kepada Tan Sri Dr. Halim Shafie dan Ijazah Kehormat Sarjana (Pengurusan Operasi) kepada Datuk Che Azmi Murad.

Canselor UUM, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah akan menyampaikan ijazah kehormat kepada kedua-dua tokoh tersebut pada sesi pertama, 6 November 2022 (Ahad).

Selain itu, seramai 955 graduan dipilih untuk menerima 31 anugerah utama Universiti termasuk anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Kecemerlangan PTPTN.

Sempena Majlis Konvokesyen UUM Ke-34, Pesta Konvokesyen (PESKON) dengan tema ‘#INIUUMKITA: Kenangan Tercipta’ akan berlangsung dari 3 hingga 11 November 2022 mulai jam 9 pagi hingga 11 malam di Tapak Ekspo, Padang Kawad PALAPES dan sekitar UUM. – MalaysiaGazette