BUKIT MERTAJAM – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyifatkan keadaan politik parti itu di negeri ini tenang tanpa sebarang kekecohan membabitkan soal calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Beliau yang juga Pengerusi UMNO negeri memberi jaminan tidak akan timbul pertelingkahan berhubung calon BN di negeri ini memandangkan mereka yang disenaraikan oleh bahagian untuk dipilih sebagai calon.

“Insya Allah saya bagi jaminan, saya ingat tak ada masalah di Pulau Pinang, keadaan politik di sini sehingga hari ini masih very cool (sangat tenang).

“Kita terima keputusan calon yang akan diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Zahid Hamidi malam ini kerana mereka dipilih daripada senarai nama yang dihantar oleh bahagian.

“Jadi tak ada masalah mereka (calon) nak lompat atau tidak puas hati dengan keputusan yang akan diumumkan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Bulanan Keretapi Tanah Melayu Komuter Sektor Utara hari ini.

Mengulas lanjut Musa berkata, satu majlis khas memperkenalkan calon BN Pulau Pinang dijangka diadakan pada 3 November ini.

“Malam ini watikah perlantikan calon akan diserahkan kepada saya selaku Pengerusi BN negeri dan kita akan buat satu majlis di sini nanti.

“Dulu negeri yang umum tapi tahun ini ada perubahan sikit pucuk pimpinan putuskan untuk buat pengumuman di Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Media sebelum ini melaporkan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon-calon parti yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Menerusi sebuah surat jemputan yang dihantar oleh Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz pada Isnin, pengumuman tersebut dilakukan dalam Majlis Pengumuman Calon BN di Dewan Tun Husein Onn pada jam 8.30 malam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast