Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menyifatkan DAP Pulau Pinang menjadikan kawasan Parlimen Bukit Bendera sebagai tempat latihan sepenggal kepada pemimpin mereka berbanding menjaga kebajikan penduduk.

Ia susulan tindakan DAP mengemukakan calon berbeza setiap penggal.

“Walaupun ini strategi kempen DAP tetapi ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana membiarkan beberapa orang ahli Parlimen berundur selepas berkhidmat sepenggal.

“Ini juga menyebabkan pengundi tidak mempunyai peluang untuk memberi gred kepada khidmat dan prestasi terhadap pemimpin itu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman calon Pilihan Raya Umum Ke-15 yang diumumkan oleh Pakatan Harapan beberapa hari lalu.

“Selepas DAP memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera pada pilihan raya umum 2008 mereka bertindak menggantikan calon setiap penggal.

“Pada 2008 Liew Chin Tong dipilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Bendera kemudian digantikan dengan Zairil Khir Johari pada 2013.

”Ia tidak terhenti di situ apabila Wong Hon Wai dicalonkan pada 2018 sehinggalah kepada pengumuman terkini membabitkan Syerleena Abdul Rashid.

“Ini menunjukkan bahawa DAP langsung tidak menghormati pengundi Bukit Bendera dan menganggap kawasan itu sebagai sebuah aset parti diperuntukkan kepada ahli bagi menjalani latihan.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan negeri menyeru pengundi pengundi mempertimbangkan dengan teliti dan menolak parti politik sebegini yang mengemukakan calon berbeza setiap penggal.

“Kita tidak mahu kawasan kita digunakan oleh DAP sebagai tempat latihan satu sepenggal.

“Apa yang kita mahu ialah wakil rakyat yang berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan membawa pembangunan lestari ke kawasan pilihan raya,” kata Tong Keong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast