Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk menghapuskan tol adalah idea yang sangat populis tetapi tidak praktikal, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.

Walaupun idea itu boleh membantu rakyat tetapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) membelanjakan RM400 juta untuk membayar pampasan ke atas konsesi berat sebelah.

Ini kerana, jumlah itu akan dapat dinikmati sebahagian rakyat yang menggunakan tol sahaja sedangkan penduduk di luar bandar hanya mendapat kesan yang sangat minimum.

”Sebab itulah kerajaan BN pada zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) memulakan usaha untuk mengambil alih konsesi tol PLUS daripada pihak swasta. Melalui pemilikan bersama antara KWSP dan Khazanah. Dengan cara itu majoriti rakyat akan dapat merasai keuntungan tol ini daripada dividen KWSP mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sekali lagi berjanji tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) akan dimansuhkan jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, PH telah mengurangkan bayaran tol untuk lebuh raya itu sebanyak 18% semasa ia memerintah selama 22 bulan.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, ketika di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional berusaha menghapuskan tol secara perlahan-lahan.

Antara tahun 2009 – 2017 contohnya, terdapat 11 tol berjaya dihapuskan antaranya Metramac, Teluk Kapas, Batu 9, Batu Tiga, Sungai Rasau dan Tol Bukit Kayu Hitam.

Begitu juga pada zaman tersebut, kerajaan BN berjaya membina lebuhraya tanpa tol, antaranya Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya CSR yang menghubungkan Kota Bharu-Pahang serta Rawang Bypass yang juga merupakan jambatan tertinggi di Malaysia (60 meter dari tanah).

”Lebuhraya CSR membuktikan kerajaan BN zaman PM 5 dan PM 6 sangat menghormati semangat federalisme dengan memberikan peruntukan setara kepada Kelantan walaupun ia diperintah pembangkang.

”Tidak wujud diskriminasi sepertimana zaman PM4. Malah Kelantan diberikan tambahan stesen ECRL, pembesaran Lapangan Terbang, Pelabuhan Tok Bali, LPT 3, bantuan pengurusan bekalan air serta penghapusan hutang melalui pajakan aset air sepertimana negeri-negeri lain.

”Semua ini akhirnya mencipta peluang pekerjaan dan memberikan pendapatan kepada rakyat tanpa mengira parti,” ujarnya lagi.

Asyraf menambah, Lebuhraya Pan Borneo pula membuktikan keprihatinan kerajaan BN agar negeri-negeri Borneo tidak tertinggal dari segi pembangunan.

Jelasnya, ini adalah game changer (perubahan) besar yang akan memberi manfaat terutamanya apabila Indonesia memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan dalam masa terdekat.

”BN tidak pernah menjanjikan bulan bintang. BN tidak mampu menjanjikan dunia utopia yang serba sempurna. Kami tidak akan sesekali berbuat begitu.

”Kami hanya akan menjanjikan sesuatu yang praktikal, boleh dilaksana dan memberi manfaat optimum kepada rakyat. Inilah Barisan Nasional!,” tambahnya. – MalaysiaGazette

Janji mansuh tol bukti PH tak menyesal tipu rakyat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast