tol rakyat
Tol adalah salah satu janji bulan dan bintang parti politik jika menang PRU.

KUALA LUMPUR – Janji memansuhkan kutipan tol yang dikitar semula oleh Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membuktikan gabungan pembangkang itu tidak pernah menyesal kerana menipu rakyat.

Pentadbir laman Facebook Sahabat Bossku berkata, janji PH pada PRU-14 adalah untuk memansuhkan semua tol termasuk Lebuh Raya Utara-Selatan dan tol Jambatan Pulau Pinang.

“Tetapi apa yang akhirnya kita dapat daripada PH apabila mereka menjadi kerajaan ialah diskaun 18 peratus ke atas tol tersebut sebagai balasan apabila PH lebih daripada menggandakan baki tempoh konsesi tol daripada 18 tahun lagi kepada tahun 2038 kepada 38 tahun lagi hingga 2058.

“Lebih teruk lagi, diskaun itu sebenarnya dibiayai dengan memansuhkan bayaran tahunan yang dibuat kerajaan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana Plus Berhad tidak menaikkan tol seperti yang dijadualkan di bawah perjanjian konsesi yang dibuat pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Hantaran tersebut turut dikongsi dalam laman Facebook Najib Razak.

Semalam, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dilaporkan berjanji bahawa tol di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) akan dimansuhkan jika PH membentuk kerajaan selepas PRU-15. 

Beliau menambah, apabila Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, kerajaan dan KWSP telah membeli semula keseluruhan syarikat Plus Berhad daripada tangan swasta pada tahun 2011 menyebabkan kerajaan memiliki 51 peratus melalui Khazanah Berhad dan KWSP memiliki baki 49 peratus.

Pentadbir laman Facebook Sahabat Bossku memberitahu, oleh itu, sebarang tol yang dikutip sekarang sama ada menguntungkan kerajaan atau ahli KWSP dan bukan lagi kroni persendirian.

Beliau berkata, sebahagian daripada perjanjian itu termasuk pembekuan caj tol sebagai balasan kerajaan membayar pampasan kepada KWSP setiap tahun.

“Sebab itu tol di lebuh raya milik PLUS seperti Lebuh Raya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang tidak pernah dinaikkan sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi apabila PH masuk, mereka memutuskan untuk memberikan diskaun 18 peratus serta menghentikan pampasan tahunan kepada KWSP dengan menambah 20 tahun lagi kepada konsesi tol,” jelasnya.

Pentadbir laman Facebook Sahabat Bossku berkata, apabila Najib mengkritik Lim Guan Eng tentang perkara itu, bekas Menteri Kewangan berkenaan menjawab bahawa pencarum KWSP tidak kisah dengan dividen tahunan yang lebih rendah sebagai balasan diskaun 18 peratus.

“Apabila Najib bertanya bagaimanakah pencarum KWSP dari Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak (yang tidak mempunyai tol lagi selepas ia dimansuhkan pada zaman Najib) mendapat manfaat daripada diskaun 18 peratus ini tetapi akhirnya mendapat dividen KWSP tahunan yang lebih rendah, Guan Eng tidak (dan pastinya tidak dapat) menjawab,” katanya. – MalaysiaGazette